Media Korea Selatan memberikan pandangan tegas terhadap penyokong skuad kebangsaan Indonesia yang mahukan ketua jurulatih pasukan itu, Shin Tae-yong untuk meletak jawatan.
Desakan ini muncul selepas Garuda dibelasah Jepun dengan keputusan 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di laman sendiri yang mana membuatkan peminat negara seberang berasa kecewa.
Baca Juga:
- Shin Tae-yong Bakal Ikut Jejak Langkah Kim Pan-gon?
- Kim Pan Gon Ramal Arif Aiman Bakal Jadi Pemain Terbaik Asia
- Shin Tae-Yong Pertahan Penyokong Indonesia, Anggap Permintaan Bahrain Tak Masuk Akal
Tanda pagar #STYOut kemudiannya berlegar di laman media sosial yang mahukan pengendali itu untuk dilepaskan atau beliau meletak jawatan.
Perkara ini kemudiannya menarik perhatian salah satu media dari Korea iaitu Nate yang mana mereka mengkritik peminat Indonesia yang mahukan Tae-yong untuk meninggalkan pasukan.
Dalam artikel yang dikeluarkan, media tersebut menggunakan tajuk yang tertulis ‘Shin Tae-yong Keluar? Adakah Anda Lupa Untuk Bersyukur?
Nate turut mengingatkan penyokong mengenai prestasi yang sudan diraih oleh pasukan itu sejak dibimbing oleh Tae-yong pada 2019 lalu.
“Apakah mereka lupa dengan pencapaian layak ke pusingan ketiga kelayakan buat pertama kali? Peminat Indonesia melancarkan kempen agar Tae-yong dikeluarkan.
“Sudah pasti satu perkara yang wajar untuk mengkritik pasukan selepas mengalami kekalahan. Akan tetapi, Tae-yong sudah menampilkan prestasi yang baik,” tulis media itu.
Akan tetapi, desakan ini tampak sudah surut selepas Indonesia berjaya mencatat kemenangan ke atas Arab Saudi dengan keputusan 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno baru-baru ini.
Dua gol yang dijaringkan oleh pemain Oxford United, Marselino Ferdinan pada separuh masa pertama dan kedua sudah cukup untuk memberikan kemenangan pertama bagi Garuda dalam kempen kelayakan kali ini.
Dengan kemenangan tersebut, Indonesia melonjak ke tangga ketiga dengan enam mata diraih manakala Arab Saudi yang turut mengumpul enam mata berada di tangga keempat.