Semalam adalah hari bersejarah buat seluruh Malaysia apabila kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioTech selamat mendarat di Malaysia tepat jam 10 pagi melalui penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan pesawat Airbus 330-300 yang dikendalikan MABkargo Sdn. Bhd (MASKargo).
Pesawat ini bertanggungjawab membawa vaksin dari kilang Pfizer di Belgium, berlepas dari Puurs dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.
Penghantaran vaksin ini pula telah dikawal ketat oleh pihak polis dari KLIA ke stor simpanan di Subang sebelum diedarkan ke empat lokasi simpanan lain di seluruh negara.
Namun hari yang sepatutnya mencatat sejarah baharu negara sedikit ralat apabila tumbuh dakwaan-dakwaan palsu daripada kumpulan anti vaksin atau mereka yang berpegang kepada kepercayaan teori konspirasi bahawa segala yang terjadi ini kalau tidak agenda yahudi, maka ia adalah agenda dajjal.
Vaksin bukan dajjal dan One World adalah nama airline alliance atau rangkaian syarikat2 penerbangan. pic.twitter.com/GMnImsbuWf
— Khairy Jamaluddin 🇲🇾🌺 (@Khairykj) February 21, 2021
Isu ini turut dikongsi oleh Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin di dalam ciapannya yang menjawab salah satu dakwaan netizen yang tidak masuk akal apabila mengaitkan pesawat yang membawa vaksin ke Malaysia ada kaitan dengan agenda jahat untuk merosakkan umat manusia.
“Vaksin bukan dajjal dan One World adalah nama airline alliance atau rangkaian syarikat-syarikat penerbangan,” kata Khairy di dalam ciapannya yang menjawab dakwaan seorang pengguna Facebook mengenai vaksin dan pesawat OneWorld yang dikaitkan dengan agenda dajjal.
Tidak cukup dengan itu, jika anda membuka Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), anda mungkin akan berjumpa dengan kumpulan anti vaksin yang berlegar di sekitar hantaran yang memuat naik mengenai kehadiran vaksin di Malaysia semalam. Dan membaca teori mereka kadang-kadang boleh membuatkan anda sendiri keliru.
OneWorld, syarikat penerbangan global.
Untuk pengetahuan anda, OneWorld adalah persekutuan syarikat penerbangan global yang terdiri daripada 13 ahli yang merangkumi British Airways, Cathay Pacific, Qantas, Qatar Airways, Japan Airlines, Finnair dan Malaysia Airlines yang menjadi sebahagian daripada ahli OneWorld sejak Februari 2013 lagi.
Apa kelebihan untuk Malaysia Airlines? Apabila Malaysia Airlines menyertai persekutuan ini, para pelanggan boleh nikmati perkhidmatan yang lancar dan tempahan yang lebih mudah dengan syarikat penerbangan yang berbumbung di bawah OneWorld.
Bagi anda yang kerap menggunakan perkhidmatan ini, anda akan memperoleh faedah premium semasa anda terbang dengan syarikat penerbangan rangkaian OneWorld.
Dengan 13 anggota penuh, OneWorld kini merupakan pakatan syarikat penerbangan ke-3 terbesar di dunia. Yang terbesar ketika ini adalah Star Alliance yang mempunyai 26 anggota penuh termasuk Singapore Airlines dan Thai Airways. Ini diikuti oleh SkyTeam yang mempunyai 19 anggota penuh seperti Air France, Garuda Indonesia dan Aeroflot.
Tidak pasti mengapa isu ini menjadi topik hangat buat para penganut teori konspirasi. Padahal di zaman serba mudah ini, mereka hanya perlu buka Google dan cari nama OneWorld untuk mencari kepastian adakah ini salah satu agenda jahat atau sebenarnya ilmu baharu untuk mereka.
Melihat kepada situasi ini, Khairy turut mengingatkan bahawa apa yang terjadi kepada kumpulan anti vaksin dan penganut teori konspirasi adalah satu cabaran untuk semua dalam membantu menyebarkan maklumat yang sahih dan melawan segala ilmu yang diambil daripada WhatsApp.
Untuk rekod, petugas barisan hadapan akan menjadi penerima awal vaksin dalam fasa pertama program imunisasi yang bakal bermula 26 Feb ini. Antara yang terlibat adalah petugas Kementerian Kesihatan dan anggota unit beruniform.
Facebook mungkin akan menyekat info anti vaksin dalam masa terdekat. Klik pautan di bawah untuk membaca.
Facebook Mungkin Akan Menyekat Info Anti Vaksin Dalam Masa Terdekat
Anti-Vaksin Tuduh Doktor Menipu, Tidak Percaya Vaksin Mampu Ubati COVID-19
Kumpulan Anti-Vaksin Tidak Setuju Dr Zulkifli Dilantik Sebagai Menteri Hal Ehwal Agama