Dua syarikat teknologi gergasi dari Amerika Syarikat, Intel dan Oracle, telah menyuarakan kebimbangan mereka secara terus kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkenaan kesan dasar tarif Amerika Syarikat terhadap operasi mereka di Malaysia, lapor The Edge.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dalam satu video yang dimuat naik di platform media sosial X, berkongsi bahawa kedua-dua syarikat telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Malaysia untuk membincangkan cabaran-cabaran yang timbul akibat dasar tarif tersebut.
Bincang Tarif Terus Dengan PMX
Perbincangan ini bukan sekadar sesi biasa antara syarikat dan kerajaan, malah melibatkan pertemuan langsung dengan Perdana Menteri.
Menurut Zafrul, Intel khususnya menekankan betapa pentingnya kelancaran rantaian bekalan mereka untuk memastikan kelangsungan perniagaan dari segi kos dan keberdayaan operasi.
Malaysia menjadi hub utama bagi penghasilan komponen pertengahan (intermediate goods) yang kemudiannya dihantar semula ke Amerika Syarikat untuk proses penghasilan akhir.
Maka, sebarang gangguan dari segi tarif boleh membawa impak besar kepada keseluruhan model perniagaan syarikat ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia kini giat berusaha membina pemahaman bersama dengan syarikat-syarikat Amerika Syarikat yang beroperasi di negara ini.
Syarikat Jadi Wakil Bincang Dengan Amerika
Melalui kerjasama rapat dengan organisasi seperti US-Malaysia Chamber of Commerce dan US-Asean Chamber of Commerce, pihak kerajaan berharap agar syarikat-syarikat ini dapat memainkan peranan aktif dalam memberi penjelasan kepada kerajaan Amerika Syarikat berkenaan manfaat operasi mereka di Malaysia – bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi juga kepada ekonomi dan pengguna di Amerika Syarikat sendiri.
Zafrul menegaskan bahawa kepentingan Malaysia dan syarikat-syarikat teknologi Amerika ini sebenarnya seiring.
Tarikan utama Malaysia selama ini adalah kestabilan, kemudahan logistik dan tenaga kerja mahir yang menjadikan negara ini destinasi pilihan untuk pelaburan asing, khususnya dalam bidang teknologi tinggi.