Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman dihukum penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki, dua tahun lepas.
Memetik Harian Metro, tertuduh yang berusia 43 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid selepas representasi dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara diterima bagi menukar pengakuan sebelum ini yang mengaku tidak bersalah.
Baca Juga:
- Tiada Keadaan Khas Untuk Tangguh Hukuman, PU Azman Dihantar Ke Penjara Kajang
- Lakukan Amang Seksual Fizikal Ke Atas Remaja Lelaki, PU Azman Dipenjara 24 Tahun
- PU Azman Mengaku Tidak Bersalah Atas Empat Pertuduhan Amang Seksual Dan Kelucahan Melampau
Representasi tersebut dikemukakan Azman Syah pada Oktober lepas dan diterima Jabatan Peguam Negara pada awal November baru-baru ini.
PU Azman didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek di sini pada 9.15 malam, 10 Jun 2022.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun sekiranya disabitkan kesalahan.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi dan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada Rosli manakala Azman Syah diwakili Peguam Fahmi Adilah.
Pada masa sama, peguam PU Azman memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya selain memaklumkan pengakuan bersalah itu didorong faktor keinsafan dan menyesal atas perbuatan berkenaan.
Tertuduh turut berjanji kepada mahkamah untuk menjadi seorang warganegara yang baik dan berguna.
“Anak guam saya juga memohon maaf kepada pengadu (mangsa) yang terlibat dan kerajaan Malaysia, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta mahkamah yang mulia ini kerana mengambil masa ketika perbicaraan berlangsung (sebelum representasi diterima Jabatan Peguam Negara),” katanya.
Memetik laporan itu lagi, Rasyidah sebaliknya menegaskan sebagai seorang pendakwah selebriti, perkara itu tidak sepatutnya dilakukan terhadap pengadu yang ketika itu masih berusia 18 tahun. Serta, pengakuan bersalah bukan faktor yang patut diambil kira oleh mahkamah untuk memberikan ‘diskaun’ terhadap hukuman.
“Pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga terhadap masyarakat sejagat secara amnya …,” katanya.
Terdahulu, PU Azman telah diperintahkan menjalani hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun pada 27 September lalu.