Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) sebentar tadi telah bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam Negeri Pahang serta pelaksanaan Program Jualan Makmur Kluster Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2025.

Dua inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban rakyat dan memeriahkan sambutan perayaan Aidilfitri yang bakal tiba.

Baca Juga:

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail, bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada kira-kira 8,000 penjawat awam Negeri Pahang.

Pemberian bantuan ini melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM8 juta dan dijangka dapat membantu penjawat awam dalam menyediakan kelengkapan perayaan Aidilfitri mereka.

Bantuan tersebut dijadual akan disalurkan seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri, memberi peluang kepada penerima untuk membuat persiapan perayaan dengan lebih selesa.

Wan Rosdy berharap bantuan ini akan memberi dorongan kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan cemerlang demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri Pahang.

Program Jualan Makmur Kluster Perayaan Aidilfitri 2025

Selain daripada Bantuan Khas Kewangan, Kerajaan Negeri Pahang juga akan melaksanakan Program Jualan Makmur Kluster Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2025.

Program jualan ini bertujuan untuk menyediakan barangan keperluan perayaan dengan harga yang lebih berpatutan kepada rakyat Pahang.

Program jualan ini akan berlangsung dari 22 hingga 27 Mac 2025, dengan 26 lokasi jualan di seluruh negeri Pahang.

Kerajaan Negeri Pahang bersama-sama dengan pasar raya dan pembekal terpilih akan menawarkan potongan harga antara 15 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa.

Potongan harga ini akan disubsidikan oleh Kerajaan Negeri, dengan peruntukan kewangan sebanyak RM1.1 juta.

Inisiatif ini diharap dapat meringankan beban rakyat dalam menghadapi kos perayaan yang semakin meningkat.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut mengajak seluruh masyarakat di negeri ini untuk memanfaatkan peluang ini dengan menyertai Program Jualan Makmur dan menikmati potongan harga yang menarik.

Penganjuran program ini diharapkan dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini, sekaligus memberikan kemudahan dan keceriaan kepada rakyat Pahang.

Dengan dua inisiatif ini, Kerajaan Negeri Pahang menunjukkan komitmennya untuk memastikan rakyat dapat merayakan Aidilfitri dalam suasana yang lebih ceria dan sejahtera, serta meningkatkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat.