Perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 pada 12 April ini yang menemukan Sri Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perkembangan terkini itu disahkan badan penganjur bola sepak, Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan sebentar tadi.
Sri Pahang mara ke pentas final selepas berjaya menundukkan Sabah menerusi agregat 3-2 manakala JDT pula mudah membenam cabaran Terengganu dengan kemenangan 6-1.
Menurut kenyataan dikeluarkan MFL, keputusan penetapan tarikh itu dibuat selepas mengambil kira kesesuaian kalendar Liga Malaysia 2024-2025 serta penglibatan JDT dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE).
Ia berikutan kejayaan skuad Harimau Selatan itu layak ke pusingan 16 terbaik dengan aksi timbal balik bermula pada 4 Mac 2025 dan andai berjaya ke pusingan suku akhir, ia dijangka berlangsung pada 25 April 2025.
Tarikh perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia itu dilihat akan memberi ruang kepada JDT untuk mengharungi peringkat kalah mati ACLE di mana penglibatan JDT di pentas antarabangsa cukup penting dalam menyumbang mata bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ranking kelab AFC.
“MFL selaku badan pengelola jelas komited untuk menyokong mana-mana kelab yang menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa malah keputusan penetapan tarikh final edisi ke-98 itu mendapat persetujuan dan sokongan baik Sri Pahang FC.”
“Selain itu, antara faktor penting dalam pemilihan tarikh 12 April 2025 itu juga adalah ketersediaan venue SNBJ yang dilihat gelanggang paling sesuai untuk menyambut kehadiran ribuan penyokong kedua-dua pasukan itu nanti. SNBJ akan ditutup untuk kerja-kerja penambahbaikan padang bermula selepas tamatnya Perlawanan Akhir Unifi Piala Malaysia, menjadikan 12 April sebagai tarikh paling ideal untuk menganjurkan perlawanan akhir.”
“Perubahan tarikh Perlawanan Akhir ini juga akan melibatkan pindaan tarikh-tarikh perlawanan Liga Super minggu 25 dan 26,” tambah MFL lagi.