Dengan kehadiran AI pada hari ini, boleh dikatakan majoriti daripada telah memanfaatkan ia untuk melancarkan produktiviti seharian termasuklah seperti menjana idea atau menjawab emel daripada klien.
Namun, tahukah anda bahawa bukan semua peranti mampu menjalankan ciri AI dengan baik kerana teknologi tersebut masih baharu dan memerlukan cip yang memang khas dibina untuknya?
Oleh itu, Microsoft sedia bantu dengan memperkenalkan sebuah komputer riba hybrid yang serba canggih dengan spesifikasi padu dan paling penting hadir bersama cip NPU untuk pengendalian AI yang lebih efisien dan pantas.
Kami merasa sangat bertuah kerana berpeluang merasai sendiri pengalaman menggunakan Surface Pro 11 OLED selama beberapa minggu dan berkongsi pendapat bagaimana prestasi komputer Windows pada kali ini berbanding pesaing lain.
Rekaan dan binaan
Dari segi luaran, Surface Pro 11 ini menampilkan rekaan yang cukup kompak kerana hanya berukuran 13-inci sahaja dengan berat sekitar 900gram yang mana mudah dibawa ke mana-mana sahaja dan lebih ringan untuk dipegang pada tangan dalam tempoh yang lama.
Soal binaan pula, keseluruhan rangka komputer riba ini diperbuat daripada bahan kitar semula namun tetap terasa kukuh dan tahan lasak. Malah, penyokong yang tersedia di belakangnya juga berkualiti kerana boleh dibuka dan ditutup dengan baik dan tersemat rapi.
Kami sendiri sangat berpuas hati dengan aspek mobiliti menerusinya kerana memberikan fleksibiliti untuk bertugas walau di mana jua ditambah pula dengan kebolehan Flex Keyboard yang boleh beroperasi secara berasingan.
Prestasi
Dengan penggunaan cip terkini iaitu Qualcomm Snapdragon X Elite dengan sokongan 12 core yang mempunyai kecepatan clock setinggi 3.4Hz menjadikan kuasa pemprosesan ini lebih daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan kerja seharian dalam dunia profesional.
Setakat membuka puluhan tab pada laman pelayaran, video YouTube masih berjalan di latar belakang sambil menyunting gambar melalui aplikasi lain, Surface Pro 11 tetap beroperasi dengan lancar dan tidak menunjukkan sebarang lag.
Namun, prestasinya mungkin terhad jika anda menjalankan aplikasi yang lebih berat atau permainan 3D yang memerlukan banyak sumber.
Kami dapati Surface Pro 11 kali ini juga mempamerkan pertukaran mod komputer kepada tablet yang lebih lancar dan responsif. Perkara ini sangat membantu buat para profesional atau pelajar yang selalu mengambil nota atau membuat brainstorming di dalam kehidupan seharian.
Paparan skrin
Memang tidak dinafikan, paparan skin yang berukuran 13-inci jenis OLED dengan keterangan maksimum 900nits menawarkan visual yang cukup menawan dan sinematik dengan kontras yang lebih mendalam.
Ditambah pula sokongan refresh rate 120Hz menjadikan sebarang animasi serta pertukaran ke aplikasi tampak lancar dan responsif . Malah, paparan skrin ini turut menyokong penggunaan sentuhan dan Surface Pen dengan cukup baik.
Sedikit masalah yang kami hadapi adalah skrin ini terlalu sensitif dengan cahaya lalu memantulkan objek pada permukaan sekaligus menyebabkan kesukaran untuk melihat kandungan pada skrin di kawasan terbuka.
Ciri Copilot+
Surface Pro 11 pada kali ini mendapat kelebihan dengan ciri Copilot+ di mana bakal menawarkan bantuan tambahan sebagai pembantu maya di dalam aktiviti seharian.
Sebagai contoh penggunaan, ciri Copilot+ ini boleh dimanfaatkan menerusi aplikasi natif seperti Microsoft 365 yang mana sedia membantu dengan penulisan, penyusunan, dan analisis data.
Selain itu, anda juga boleh menjana gambar dengan mudah menerusi Image Creator dan Cocreator. Lebih mengujakan lagi, wujudnya ciri terjemah bahasa secara langsung pada sebarang video yang dimainkan sekaligus sangat membantu kami memahami sesuatu konten yang bukan dalam bahasa natif.
Bateri
Memandangkan komputer riba ini direka khas untuk para profesional atau pelajar universiti, bateri yang dibekalkan berjaya mempamerkan prestasi yang cukup cemerlang untuk sepanjang hari.
Setakat penggunaan untuk produktiviti seharian seperti menulis, sunting gambar atau layari internet, kami dapati jangka hayat bateri pada Surface Pro 11 ini mampu mencapai lebih 6 jam pada prestasi yang optimum.
Sepanjang penggunaan di dalam beberapa minggu, dengan satu pengecasan penuh bakal memberikan ketahanan bateri mencecah dua hari biarpun tidak dimatikan sepenuhnya.
Dalam pada itu, perkara lain yang layak dipuji adalah kehadiran dua USB-C yang boleh disambung pada monitor tambahan, menyambung docking atau membuat pengecasan menerusinya. Kebolehan menaik taraf ruangan storan secara DIY juga satu kelebihan buat pengguna.
Bercakap berkaitan audio pula, kami merasakan Surface Pro 11 antara komputer riba yang mempunyai sistem pembesar suara stereo yang terbaik sekaligus memberikan hasil audio yang jelas dan imersif.
Kehadiran kamera swafoto dan utama yang berkualiti pada komputer riba hybrid ini turut boleh memudahkan anda membuat telesidang dengan visual yang jelas atau pun mengimbas dokumen dengan mudah.
Pada hemat kami, Surface Pro 11 merupakan sebuah komputer riba hybrid terbaik yang pernah dihasilkan oleh Microsoft dengan kemampuan AI yang luar biasa dan juga prestasi bateri yang jauh lebih baik pada kali ini.
Untuk menikmati fungsi seperti laptop serta menikmati ciri Copilot+ dengan lebih menyeluruh, anda disarankan mendapatkan Flex Keyboard yang ditawarkan Microsoft kerana telah diintegrasi dengan sempurna.
Walaupun mempunyai kelemahan seperti ketiadaan sokongan buat sejumlah aplikasi terkenal daripada pihak ketiga menerusinya, kami percaya masalah ini akan diselesaikan dengan mudah menerusi kemas kini yang bakal ditawarkan dari semasa ke semasa.
Anda boleh dapatkan Microsoft Surface Pro 11 ini pada harga bermula RM5,399 untuk skrin biasa atau RM7,899 untuk skrin OLED dengan beberapa pilihan warna yang vibran dan lebih fresh.