Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendedahkan kira-kira 30 peratus doktor di Malaysia tergolong dalam kategori B40.
Memetik MalaysiaKini, bakal presiden MMA Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata, hakikat sebenar sebilangan besar daripada para doktor merupakan golongan berpendapatan rendah. Ini berdasarkan kajian yang dijalankan pada 2018 melibatkan 1,800 orang doktor.
Baca Juga:
- Rasa Nak ‘Membuang’ Bila Masuk Kedai Eco Dan Daiso? Ini Penjelasan Saintifik Dari Doktor
- Bill Gates Cadang Kerja Guru Dan Doktor Digantikan Oleh AI
- Doktor Kongsi Sebab Mengapa Ambil 10 Lesen Pelbagai Kenderaan
“Kita dapati hanya 10 peratus yang benar-benar berjaya dari segi ekonomi. Manakala doktor dalam kategori B40 pula hampir 30 peratus. Lagi 30 peratus hanya cukup makan. Kita ada data ini,” kata Thirunavukarasu dalam ucapannya semasa protes doktor di Putrajaya baru-baru ini.

Menurutnya lagi, baki 30 peratus doktor yang lain pula tergolong dalam keadaan tersepit dari segi kewangan.
Beliau berkata sedemikian ketika mengetuai protes menentang pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (Penandaan Harga bagi Ubat) 2025 oleh kerajaan yang berkuat kuasa pada 1 Mei ini.
Kenapa doktor swasta berprotes?

Lebih 700 doktor mengadakan demonstrasi bagi membantah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung mandat paparan harga ubat.
Perhimpunan pertama dalam sejarah yang disertai doktor sektor swasta di Malaysia yang melibatkan pengamal am (GP) dan pakar dari seluruh Semenanjung yang berhimpun di Putrajaya.
Protes itu bagi membantah pewartaan perintah paparan harga ubat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 (Akta 723).

“Walaupun persatuan perubatan menyokong prinsip ketelusan dalam penetapan harga ubat, kami membantah keras cara Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (Penandaan Harga untuk Ubat) 2025 dikuatkuasakan ke atas klinik swasta di bawah Akta 723 tanpa perundingan dan libat urus dengan komuniti perubatan yang terjejas, khususnya pengamal am (GP).
“Lebih penting lagi, para doktor, klinik dan persatuan perubatan berhujah tegas bahawa pengawalseliaan ketelusan dan paparan harga ubat di klinik swasta seharusnya tertakluk di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) – bukan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 (Akta 723) yang tidak sesuai untuk persekitaran perkhidmatan klinikal.
“Akta 586 digubal khusus untuk mengawal selia kemudahan jagaan kesihatan swasta, bagi memastikan keseimbangan antara tadbir urus klinikal, keselamatan pesakit dan penetapan harga yang adil.”
“Penguatkuasaan perintah paparan harga di bawah undang-undang perdagangan yang direka untuk kawalan harga oleh peniaga tidak sesuai dengan keperluan perubatan yang kompleks dan boleh membawa kepada kesan yang tidak diingini.
“Seperti pesakit membuat keputusan berdasarkan harga semata-mata dan bukan atas nasihat perubatan profesional,” kata 11 pertubuhan perubatan dalam satu memorandum bersama yang dihantar ke Pejabat Perdana Menteri (PMO), petik laman Code Blue.