Sebuah motosikal model Honda EX-5 pernah dilaporkan hilang di Selayang, Selangor pada 12 tahun lalu. Bagaimanapun, motosikal tersebut ditemui semula di Kuching, Sarawak pada awal bulan September baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk menjalankan siasatan lanjut.
Baca Juga:
- PDRM Keluarkan Lebih 2.56 Juta Kompaun Saman Trafik Dalam Tempoh 8 Bulan
- Ekoran Dakwaan Buat Intipan Di Lokasi Penting, Rakyat Malaysia Ditahan Di Norway
- Rakaman Pra-Perkahwinan Guna ‘Flare’ Jadi Punca 50 Hektar Rumput Di Gunung Bromo Terbakar
Beliau berkata, siasatan itu termasuk meneliti kemungkinan nombor pendaftaran dan casis motosikal yang dilaporkan hilang pada 2011 itu telah diklon.
“Kita akan menyiasat pelbagai sudut, bagaimana motosikal yang dilaporkan hilang di Selayang itu boleh berada di sini,” katanya pada sidang media di IPD Kuching.
Ahsmon berkata, motosikal itu antara 20 kenderaan termasuk enam kereta yang ditemui dalam operasi yang dilancarkan IPD Kuching sejak 4 Ogos lalu — seramai 21 lelaki berusia antara 17 hingga 57 tahun ditahan sepanjang operasi berkenaan.
“Berbanding kes sebelum ini, kecurian kenderaan yang dikesan dalam operasi ini tidak membabitkan sindiket tetapi ia dilakukan penjenayah secara bersendirian.
“Hasil saringan air kencing juga mendapati semua yang ditahan itu positif dadah,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan soal siasat, modus operandi penjenayah itu memilih melakukan kegiatan pada hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Kereta lama yang tidak mempunyai sistem keselamatan atau yang tidak berfungsi menjadi sasaran mereka. Manakala motosikal pula disasarkan pada yang tidak dipasang kunci tambahan dan diletakkan di kawasan yang tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).
Menurutnya Ahsmon, pihaknya mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi membanteras kecurian kenderaan berikutan secara purata satu kenderaan dilaporkan hilang setiap hari sepanjang tempoh lapan bulan, tahun ini.
“Dalam tempoh itu juga, seramai 72 penjenayah ditahan dengan 49 kertas siasatan berhubung kes curi kenderaan dibuka dan 57 penjenayah dituduh di mahkamah,” katanya.