Anda pasti kenal dengan sosok seorang pelawak antarabangsa dengan gelaran Mr Bean atau nama sebenarnya Rowan Atkinson. Tahukah beliau juga merupakan seorang lulusan Master di dalam jurusan jurutera elektrik dan memiliki tahap IQ setinggi 178?
Baru-baru ini kecoh apabila Badan pemikir alam sekitar dari United Kingdom, Green Alliance menyalahkan aktor inggeris yang popular dengan watak Mr. Bean sebagai salah satu sebab mengapa jualan kenderaan elektrik penuh (EV) di negara berkenaan lembab tahun lalu.
Baca Juga:
- Ini Sebab Mengapa China ‘Membuang’ Kereta EV Baharu Secara Besar-Besaran Di Kawasan Terpencil
- Sekali ‘Test Drive’ Terus Jatuh Hati, Lelaki Ini Kongsi 7 Sebab Tesla Model Kereta EV Terbaik
Menurut laporan Sky News, perkara itu disebut oleh Green Alliance ketika berlangsungnya mesyuarat jawatankuasa alam sekitar dan perubahan iklim di House of Lords awal minggu ini.
Green Alliance mendakwa bahawa ulasan yang dibuat oleh Atkinson dalam akhbar The Guardian pada 3 Jun 2023 telah menyebabkan peralihan pengguna terhadap EV di UK menjadi perlahan.
Dalam ulasan yang dimaksudkan, Atkinson menulis bahawa “permotoran elektrik nampaknya bukan penawar untuk alam sekitar seperti yang didakwa.”
Dalam penulisan yang sama beliau turut mengulas tentang kesan alam sekitar terhadap produksi EV, bahan api alternatif, kitaran hayat kereta serta menyifatkan “bulan madu kita dengan kereta elektrik akan berakhir.”
Seminggu selepas itu The Guardian telah menyiarkan satu lagi artikel yang ditulis oleh Simon Evans, timbalan editor dan editor polisi senior portal berita iklim Carbon Brief, yang membalas dan menafikan dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh Atkinson dalam artikelnya.
Dalam mesyuarat itu, Green Alliance berkongsi pandangannya mengenai halangan utama yang dihadapi kerajaan UK dalam usahanya untuk menghentikan penjualan kereta petrol dan diesel secara berperingkat menjelang 2035.
Mereka mendakwa, “salah satu artikel yang paling merosakkan ialah ulasan yang ditulis oleh Rowan Atkinson dalam The Guardian yang telah dinafikan secara terang-terangan.”
Malangnya, semakan fakta yang didedahkan tidak mencapai khalayak yang sama dengan dakwaan palsu asal, menekankan keperluan untuk memastikan standard editorial yang tinggi di sekitar peralihan sifar bersih,” tambahnya.
Antara isu yang dikemukakan oleh badan pemikir itu termasuk bilangan tempat mengecas EV yang tidak mencukupi, harga EV yang tinggi dan “kurangannya penjelasan dan mesej yang konsisten daripada kerajaan.”