Saham MR DIY Group Bhd merosot dalam dagangan awal di Bursa Malaysia semalam selepas syarikat itu mengumumkan keputusan suku tahunan yang lebih rendah daripada jangkaan.

Memetik Berita Harian, Peruncit perkakasan rumah terbesar negara itu menyaksikan keuntungan bersihnya merosot kepada RM147.20 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024, berbanding RM158.63 juta pada suku yang sama tahun lalu.

My diy
Sumber Gambar: mrdiy

Sebaliknya, hasil meningkat kepada RM1.18 bilion berbanding RM1.15 bilion sebelumnya, hal ini didorong terutamanya oleh sumbangan besar daripada pembukaan cawangan baharu.

Bagi tahun kewangan penuh, keuntungan bersih meningkat sedikit kepada RM568.94 juta daripada RM560.67 juta pada tahun sebelumnya.

Pendapatan MR DIY meningkat 6.7% berbanding tahun sebelumnya, mencapai RM4.65 bilion berbanding RM4.36 bilion pada 2023. Peningkatan ini didorong oleh pertambahan 13.8% cawangan baharu dan kenaikan 10.8% jumlah urus niaga, mencecah  182.8 juta transaksi.

Pada 28 Februari 2025, saham MR D.I.Y. Group Berhad di Bursa Malaysia mengalami penurunan sebanyak 11.39%dalam dagangan awal, susulan laporan keputusan suku tahunan yang lebih lemah daripada jangkaan.

Walaupun keputusan suku tahun lebih lemah, CIMB Securities Sdn Bhd mengekalkan saranan ‘beli’, namun ia menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM2.15.

Bank pelaburan itu tetap yakin dengan prospek pendapatan MR DIY yang kukuh, kedudukannya sebagai peneraju pasaran, dan kestabilan kunci kira-kiranya.

“Kami telah menyemak semula anggaran pendapatan sesaham tahun kewangan 2025-2026 turun sebanyak 7.8 peratus kepada 8.6 peratus untuk mencerminkan kelewatan dalam pentauliahan gudang baharu, kos buruh yang lebih tinggi dan jualan yang lebih lemah berikutan sentimen pengguna yang lebih lemah,” katanya.

Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran RM1.87, berdasarkan keyakinan terhadap keupayaan MR DIY untuk meraih manfaat daripada peningkatan perbelanjaan pengguna, yang didorong oleh pendapatan boleh guna yang lebih tinggi pada tahun kewangan 2025.

“Secara amnya, kenaikan gaji sepatutnya diterjemahkan kepada pendapatan boleh guna yang lebih tinggi bagi mereka yang berpendapatan rendah, yang mempunyai kecenderungan marginal yang lebih tinggi untuk berbelanja dan jatuh ke dalam pangkalan pelanggan utama MR DIY.

“Selain itu, pengembangan jenama baharu, termasuk KKV dan Colorist, telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan. MR DIY merancang untuk meningkatkan pembukaan cawangan kepada lebih 30 kedai pada tahun kewangan 2025,” tambah bank itu.