Baru-baru ini, satu video tular di media sosial menunjukkan seorang pelajar India, Samarth Mahangde, menggunakan payung terjun (paragliding) untuk sampai ke dewan peperiksaan tepat pada masanya.
Kisah ini bukan sahaja menarik perhatian ramai tetapi juga menjadi inspirasi tentang betapa pentingnya kreativiti dan semangat tidak mudah mengalah.
Kisah di Sebalik Payung Terjun
Samarth, seorang pelajar yang juga bekerja sambilan untuk menyara keluarganya, hampir terlepas peperiksaannya kerana kesilapan jadual.

Dia hanya menyedari peperiksaannya bermula dalam masa 15 minit selepas menerima panggilan daripada rakan yang sudah berada di dewan peperiksaan.
Dengan jarak 15 kilometer untuk dilalui dan kesesakan lalu lintas yang teruk, Samarth sedar dia tidak mungkin sampai ke destinasi dengan menaiki kereta.
Tanpa membuang masa, dia terus mencari penyelesaian luar biasa – payung terjun.
Bantuan Pakar Payung Terjun
Samarth bergegas ke Govind Yewale, seorang pakar payung terjun tempatan, untuk meminta bantuan.
Walaupun pada mulanya Govind menegur Samarth kerana tidak merancang dengan baik, dia tetap bersetuju membantu.
Dengan bantuan Govind, Samarth berjaya sampai ke dewan peperiksaan dalam masa hanya 5 minit.

Walaupun kertas soalan sudah diedarkan, dia masih dibenarkan masuk dan menjawab peperiksaan.
Bukan Pelajar Cuai, Tapi Salah Faham Jadual
Menariknya, Samarth bukanlah seorang pelajar yang cuai atau tidak bertanggungjawab.
Dia sebenarnya tidak dimaklumkan tentang perubahan jadual peperiksaan.
Jika tidak kerana panggilan rakan, dia mungkin terlepas peperiksaan tersebut sama sekali.
Kisah Samarth ini tular di media sosial dan menjadi buah mulut orang ramai.

Sebahagian netizen mengecam beliau kerana tidak tahu menyusun jadual dan membahayakan nyawa sendiri kerana menggunakan payung terjun.
Bagaimanapun, sebahagian netizen merasakan apa yang dilakukan oleh beliau ini menarik dan memuji beliau kerana pantas berfikir untuk menyelesaikan masalah.