Seorang lelaki dianugerahkan RM500,000 apabila mengalami ejakulasi retrograde dan kemurungan selepas pembedahan kelenjar prostat di hospital awam.
Warga emas berusia 64 tahun itu telah menyaman kementerian kesihatan, pengarah Hospital Selayang, dan lima doktor kerana kecuaian perubatan, lapor Free Malaysia Today.
Baca Juga:
- Mahkamah Anugerahkan Mangsa Jalan Berlubang RM720,000
- Bangunan Lama KWSP Bakal Jadi Pusat Jagaan Warga Emas Eksklusif
- Didakwa Scam Duit Orang, Warga Emas Cuba Larikan Diri Selepas Diminta Pulangkan RM9,000
Mahkamah sesyen memutuskan memihak kepadanya tahun lepas, tetapi kerajaan merayu ke Mahkamah Tinggi di Shah Alam.
Pada 17 Mei, pesuruhjaya kehakiman Choong Yeow Choy mengekalkan anugerah RM150,000 atas hilang upaya kekal disebabkan ejakulasi retrograde, RM150,000 untuk gangguan kemurungan, dan ganti rugi RM200,000.
Memetik laporan itu lagi, lelaki itu yang diwakili oleh Ganaesh Rau B.A. Ramarau, pernah menyatakan dia disahkan menghidap ketulan pada kelenjar prostat oleh doktor di Hospital Selayang pada 2016.
Mengikut alasan penghakiman mahkamah sesyen, dia diberitahu oleh doktor di jabatan urologi bahawa dia perlu menjalani pembedahan.
Dia berkata dia tidak dimaklumkan tentang risiko yang berkaitan dengan pembedahan, terutamanya risiko pancutan retrograde, dan berkata persetujuan termaklum tidak diperoleh daripadanya.
Ejakulasi retrograde merujuk kepada keadaan di mana seorang lelaki mengeluarkan sedikit atau tiada langsung air mani.
Memetik laporan itu lagi, plaintif berkata dia tidak diberitahu bahawa ia adalah pembedahan elektif dan terdapat pilihan rawatan yang kurang invasif.
Selepas pembedahan itu, warga emas itu mengalami rasa ‘panas’ ketika membuang air kecil dan menyedari dia tidak boleh mengeluarkan air mani. Dia berasa terhina selepas keluarganya melabelnya mati pucuk.
Plaintif kembali ke hospital hanya untuk dimaklumkan bahawa dia mengalami komplikasi biasa selepas pembedahan tersebut.
Bagaimanapun, rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur mengesahkan bahawa dia mengalami ejakulasi retrograde dan mengalami gangguan kemurungan akibat situasinya.