Kapten Real Madrid, Nacho Fernandez bakal meninggalkan kelab yang diwakilinya sejak berusia 10 tahun itu untuk mengembangkan kariernya ke Arab Saudi.

Menurut sumber laporan wartawan terkenal dunia, Fabrizio Romano, segalanya berjalan dengan lancar untuk Nacho membawa haluan baharu ke Al Qadsiah.

Baca Juga:

Satu perkembangan terkini yang sekali gus menamatkan jodoh Nacho dan Real Madrid selama 23 tahun dan pemain pertahanan itu telah memenangi 26 piala bersama Los Blancos.

Antara kejayaan besar dikecapi bersama Real Madrid pastinya lima trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan empat kejuaraan La Liga.

Al Qadsiah merupakan pasukan yang akan beraksi dalam dalam saingan Saudi Pro League 2024/25 selepas menjuarai Liga Divisyen 1 musim lalu.

Kelab ini turut dibimbing oleh pengurus kelahiran Sepanyol dan bekas pemain Real Madrid iaitu José Miguel González Martín del Campo atau lebih dikenali dengan panggilan Míchel.

Malah, Carlos Anton yang merupakan Pengarah Sukan Al Qadsia juga merupakan bekas pencari bakat (scouting) di Real Madrid.

Pemain berusia 34 tahun yang kini berada di Jerman bersama skuad kebangsaan Sepanyol dalam kempen Euro 2024 dilaporkan bakal memeterai kontrak selama dua musim.

Tiada yuran perpindahan yang perlu dibayar Al Qadsiah kepada Real Madrid kerana Nacho kini merupakan ejen bebas.

Difahamkan sebelum ini Nacho turut melakukan perbincangan dengan kelab gergasi Arab Saudi, Al Ittihad tetapi dengan perkembangan disahkan Romano, Al Qadsiah telah memenangi persaingan tersebut.