Baru-baru ini tular video menunjukkan seorang lelaki kurang berpuas hati apabila melihat kereta Bezza dikunci Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sementara kereta mahal tidak dikunci atas kesalahan meletakkan kenderaan bukan di tempat parkir.
Sehubungan dengan itu, DBKL tampil perjelaskan tindakan yang dilakukan oleh pasukan penguatkuasaan kami pada 11 November 2024 di sekitar Jalan Telawi 1, 3, dan 4, Bangsar, adalah berdasarkan SOP yang jelas dan konsisten, tanpa ‘pertimbangan khas’ untuk sesiapa pun.
Baca Juga:
- Wanita Mengaku Salah Halang Kereta Lain, Minta Saksi Bagi Rakaman Cermin Kena Pecah
- Kunci Tayar Bezza Tapi Lepaskan Kereta Mahal, Lelaki Ini Persoal Pihak Berkuasa ‘Double Standard’
Memetik hantaran Facebook DBKL, sejumlah 13 kenderaan telah dikenakan tindakan mengunci roda, termasuk sebuah Perodua Bezza seperti yang telah dirakam oleh pemiliknya.
Tindakan tersebut dibuat pada jam 1.09 petang, manakala pembukaan kapit dilakukan pada jam 1.30 petang di Jalan Telawi 4, berdekatan Q Bistro.
DBKL menjelaskan pihaknya memiliki SOP bahawa tindakan mengunci tayar tidak boleh dikenakan ke atas kenderaan yang mempunyai pemandu di dalamnya.
Jadi pasukan penguatkuasaan telah mengarahkan agar pemilik kenderaan yang berada di dalam kenderaan untuk mengalihkan kenderaan mereka dari lokasi berkenaan.
“DBKL ingin menegaskan bahawa kami berpegang teguh kepada prinsip keadilan tanpa ‘dwi-standard’. Semua tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah telus, tegas, dan bertujuan untuk memastikan keselesaan dan keselamatan warga kota tanpa prejudis,” jelas DBKL.