Selain berkaitan batik, perdebatan nasi kandar dari Malaysia yang didakwa rasa berpasir masih menjadi sebutan di bibir ramai.
Memetik Kosmo, penyanyi popular Indonesia iaitu Raisa Andriana tidak bersetuju dengan kenyataan MasterChef Indonesia musim kelima, Stefani Harison yang mendakwa tekstur makanan itu agak berpasir.

Menurut Raisa, dia menyarankan peminat mengunjungi tempat makan yang betul untuk menikmati rasa sebenar hidangan popular Malaysia itu.
“Mungkin ketika ke Kuala Lumpur, individu yang mendakwa makanan itu seperti berpasir telah datang ke tempat yang salah.
“Saya kalau ke Malaysia mesti cari nasi kandar dahulu, makan pun mesti pakai tangan, jangan guna sudu dan garfu itu tidak ‘afdal’.
“Menurut saya nasi kandar adalah makanan lokal yang wajib dicuba dan sangat enak. Saya tidak bersetuju dengan kenyataan makanan itu kononnya berpasir,” katanya kepada Kosmo! Online semasa sidang media konsert Raisa Teristimewa di ibu kota, semalam.
Dalam pada itu, Raisa juga menitipkan nasihat kepada masyarakat Indonesia dan Malaysia agar menghentikan budaya pertelingkahan dalam media sosial.
“Janganlah kita melaga-lagakan antara satu satu sama lain. Ada banyak sangat hal positif yang boleh kita raikan bersama.
“Banyak lagi perkara lain yang memerlukan perhatian dan tenaga. Lebih baik kita salurkan semuanya ke sana,” jelasnya.
Untuk imbas kembali, nama MasterChef Indonesia Musim Ke-5 menjadi bualan hangat di media sosial apabila tular klip video yang dia merendah-rendahkan nasi kandar di Malaysia dan mendakwa terasa berpasir.
Susulan itu, netizen tempatan menyerang wanita terbabit kerana memandang rendah penghasilan nasi kandar yang sememangnya berasal dari Malaysia.