Ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa berpendapat keputusan pengadil dan aksi pemain Gwangju FC pada perlawanan Asian Champions League (ACL) Elite 2024/25 petang semalam sedikit sebanyak mengganggu rentak permainan mereka.

Aksi yang berkesudahan 3-1 memihak tuan rumah itu telah diadili pengadil dari Qatar,  Salman Ahmad Falahi sambil dibantu dua rakan senegaranya iaitu Ramzan Saeed Al-Naemi dan Majid Hudaires Alshammari.

Baca Juga:

Selepas ketinggalan dua gol awal menerusi jaringan Jasir Asani, JDT tampil lebih baik untuk memberikan saingan kepada kelab Korea Selatan itu.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila Feroz Baharudin menanduk masuk bola pada minit ke-28 ketika situasi sepakan penjuru bagi merapatkan jurang jaringan.

Memasuki babak kedua, anak buah Hector Bidoglio itu terus memberikan tekanan tetapi usaha mereka gagal dan sebaliknya Gwangju berjaya mendapatkan jaringan ketiga pada lewat permainan.

Sehubungan dengan itu, Natxo Insa melihat Salman Ahmad Falahi sering kali memberhentikan permainan dan apa dilakukan pemain Gwangju FC terutamanya pada babak kedua juga tidak disenanginya.

“Kami tidak bermula baik dalam 10 minit pertama dengan cara kami dibolosi dua gol. Selepas itu, kami mencipta lebih banyak peluang berbanding mereka, terutama dalam babak kedua.”

“Sebagai manusia, saya boleh buat silap, pemain boleh buat silap, pengadil juga boleh buat silap,” ujar Insa menurut sumber laporan Stadium Astro.

“Ada batasnya apabila anda rasa setiap kesalahan pada setiap masa mereka menghentikan permainan dan tiada kad kuning.”

“Ini bukan alasan tetapi dalam babak kedua mereka tidak bermain dan itu bukanlah cara profesional seperti yang kita lihat dalam babak kedua.”

“Dalam babak kedua, pasukan lawan terlalu kerap menghentikan permainan. Kami cuba bermain secara menyerang dan pada penghujungnya, kami tidak bernasib baik,” tambah beliau lagi.

 

Sumber