Netflix naikkan harga untuk pakej langganannya di Amerika Syarikat (AS), selepas mencatat hampir 20 juta pelanggan baharu pada suku keempat tahun lalu, lapor CNN.
Perubahan ini dijangka mempengaruhi strategi global syarikat dan menjadi perhatian peminat Netflix di Malaysia dan seluruh dunia.
Menurut laporan Yahoo Finance, harga langganan pakej penstriman Netflix yang disokong iklan kini dinaikkan kepada US$7.99 daripada US$6.99.
Bagi pakej Standard tanpa iklan, ia meningkat kepada US$17.99, naik daripada US$15.49.
Sementara itu, pakej Premium, yang menyediakan resolusi 4K dan keupayaan untuk menonton pada empat peranti serentak, kini berharga US$24.99, naik sebanyak US$2.
Bagi pengguna yang ingin menambah akaun ahli tambahan, yuran tersebut turut dinaikkan sebanyak US$1, menjadi US$8.99.
Di luar AS, Netflix turut menaikkan harga di beberapa negara lain termasuk Kanada, Portugal, dan Argentina.
Kandungan Baru Jadi Punca Netflix Naikkan Harga?
Dalam laporan kewangan suku tahunannya, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Netflix, Ted Sarandos, menekankan kekuatan kandungan sebagai kunci kepada kejayaan syarikat.
“Saya benar-benar merasakan bahawa kekuatan kandungan kami tidak pernah berada pada tahap ini sebelum ini,” ujar Sarandos sambil menyebut beberapa projek besar yang akan datang, termasuk sekuel filem Happy Gilmore 2, dan musim baharu untuk siri popular seperti You, Stranger Things, Wednesday, dan The Night Agent.
Penganalisis pasaran menganggap kenaikan harga ini adalah sesuatu yang sudah lama dijangka.
Menurut Geetha Ranganathan, penganalisis kanan di Bloomberg Intelligence, langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi untuk mengekalkan keuntungan selepas pelaburan besar dalam kandungan serta inisiatif sukan.
Netflix sebelum ini menaikkan harga untuk pakej Standard pada Januari 2022 daripada US$13.99 kepada US$15.49, dan pakej Premium meningkat daripada US$17.99 kepada US$22.99 pada Oktober 2022.
Kini, dengan pakej disokong iklan yang juga mengalami kenaikan pertama kali dalam dua tahun, ia kekal sebagai pakej iklan termurah dalam kalangan platform penstriman utama.
Namun, isu Netflix naikkan harga ini akan membawa kesan pada pasaran antarabangsa, termasuk Asia? Di Malaysia, pengguna mungkin mula bimbang jika kenaikan harga ini turut menjangkiti pasaran tempatan dalam masa terdekat.
Sukan, Sumber Penonton Baharu
Pada tahun 2024, Netflix memperluaskan jangkauan kepada kandungan sukan, yang ternyata membawa hasil memberangsangkan.
Pertandingan tinju Jake Paul vs Mike Tyson mencatat lebih daripada 108 juta penonton global, menjadikannya acara sukan paling banyak ditonton sepanjang zaman di platform tersebut.
Sebagai perbandingan, Super Bowl 2024 menarik 124 juta penonton di AS, manakala siaran perlawanan NFL rata-rata mencapai 30 juta penonton.
Dengan angka yang luar biasa ini, Netflix dilihat serius untuk mengembangkan tawaran sukan mereka, termasuk dengan rancangan WWE Raw yang baru-baru ini dilancarkan.
Desas-desus juga mengatakan bahawa Netflix mungkin berminat untuk mendapatkan hak penyiaran UFC, walaupun tiada komen rasmi diberikan.