Kita sedia maklum pemilik jenama Choii sedang giat melakukan jelajah dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik buat para peminatnya. Jadi, ramai berlumba-lumba mahu mendapatkan hadiah yang mencecah ratusan ribu ringgit.

Seperti baru-baru ini, tular seorang lelaki muda berusia 22 tahun yang memenangi hadiah cabutan bertuah atau giveaway berupa sebuah Nissan GT-R R35 ketika majlis Jom Santai Food Festival di Terengganu bersama jenama pakaian tempatan, Choii.

Pemuda tersebut bagaimanapun memilih untuk menukarkan hadiah yang dimenanginya itu dengan wang tunai menyebabkan kereta berkenaan terpaksa dibuka untuk bidaan.

Bagai sudah tertulis pada takdir, kereta tersebut berjaya dibida oleh seorang lelaki dengan harga RM310,000.

Namun apa yang mengejutkan ramai, pemuda tersebut meminta agar wang sebanyak RM310,000 itu dimasukkan ke dalam akaun bank kekasihnya yang turut berada di majlis berkenaan.

Difahamkan, dia memilih untuk memasukkan wang yang ingin dihantar secara dalam talian itu ke akaun bank milik kekasihnya selepas telefon bimbitnya mati kerana kehabisan bateri.

“Ada akaun bank? Tak akan akaun bank tak ingat? Awek hang punya akaun bank, panggil dia naik atas,” kata Faris Azri, pemilik Choii.

Bagaimanapun, orang ramai serta juruacara majlis iaitu pelawak terkenal, Achey melarang pemuda terbabit daripada memasukkan duit berkenaan ke dalam akaun bank wanita itu.

“Jangan bagi, jangan bagi,” jeritan penonton yang berada di hadapan pentas.

Sebaliknya, mereka menyarankan agar pemuda yang dipercayai datang daripada Kelantan itu untuk memberikan nombor akaun bank milik adik beradik atau ibu bapanya.

“Kalau tanya saya, saya tak akan benarkan. Tak boleh, bahaya, akaun awek tak boleh, kalau akaun isteri mungkin (boleh), mana adik beradik dia,” kata Achey.

Di akhir video, kelihatan krew acara terpaksa memberikannya ‘powerbank’ agar telefon bimbit pemuda itu dapat dihidupkan semula selepas cubaan untuk mendapatkan akaun bank ibu serta adik beradiknya juga gagal.

Pihak penganjur juga bertegas agar wang yang akan dimilikinya itu hanya dimasukkan terus ke akaun bank miliknya atau ahli keluarga terdekat sahaja.

@hermanali87

Rezeki dak 22 tahun menang Rm310k

♬ original sound – Bos eman – Bos eman

Menjengah ke ruangan komen rata-rata netizen geleng kepala dengan keputusan lelaki berkenaan. Hal ini kerana wang itu berisiko untuk tidak dipulangkan jika kekasihnya tidak jujur.

Sumber Gambar: TikTok hermanali87
Sumber Gambar: TikTok hermanali87

Namun ada juga yang berpendapat dia hanya berniat untuk menumpangkan wang tersebut secara sementara memandangkan telefonnya sudah kehabisan bateri.