Apabila yang buruk dijadikan viral dan terkenal, dan yang baik dikecam dan dipertikaikan, ianya menjadi satu tanda tanya apa sebenarnya yang masyarakat fikirkan dan mahukan.

Pelbagai trend yang menjadi ikut-ikutan masyarakat kini, malah masyarakat seperti tidak memikirkan kesan daripada perbuatan tersebut, seperti yang baru-baru ini gelombang ‘keke challenge’ yang boleh merisikokan nyawa.

https://www.youtube.com/watch?v=senl7crJyXY

Baik dan buruk itu satu benda yang subjektif, kita haruslah pandai membezakan ia dan mengambil benda baik untuk dijadikan ikutan dan benda buruk sebagai tauladan. Justeru itu, kita haruslah mengambil seseorang yang berjaya untuk dijadikan idola dan menjadikan kejayaan tersebut sebagai inspirasi untuk maju pada masa hadapan bukan sebaliknya.

Masyarakat sangat sukakan benda yang sensasi, bahkan jika boleh ingin menjadi orang pertama yang kongsi berita tersebut tak kira lah benda baik atau buruk, ianya seperti satu pertandingan untuk menunjukkan siapa paling terkenal.

Menjadi topik perbualan masyarakat dilaman sosial mengenai pasangan kembar yang merupakan insta femes memperoleh keputusan peperiksaan yang tidak cemerlang iaitu mendapat 7G. Lebih menyedihkan apabila mereka menyalahkan pihak sekolah dan mahu berhenti sekolah untuk belajar di rumah.

Sebelum ini, pasangan kembar tersebut pernah dilanda kontroversi tidak membuat review produk setelah dibayar, dan kini kontroversi mengenai menyalahkan sekolah punca keputusan peperiksaan teruk menjadi perhatian orang ramai.

slip spm

Pasangan kembar tersebut iaitu Iera dan Ieka Tajudin menjadi viral disebabkan video kontroversi menyalahkan pihak sekolah kerana keputusan peperiksaan teruk dan kemudiannya pengikut di laman sosial Instagram mereka naik beribu-ribu.

Berlainan pula dengan kisah seorang remaja perempuan bernama Natasya Qisty yang mendapat 9A untuk keputusan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia 2016 dikecam kerana ketika ditemu bual, dia menggunakan bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dan mengenakan solekan. Walaupun tiada yang salah tentang apa yang dibuat, beliau juga tidak terlepas daripada kecaman netizen.

Masyarakat mengecam kononnya Natasya riak, bimbo, dapat keputusan cemerlang belum tentu ada masa depan dan macam-macam lagi kecaman yang diterimanya, malah membuatkan dia tertekan dengan situasi itu lantas menutup akaun sosialnya dan menjadikannya kosong follower.

Adakah itu yang masyarakat mahukan? Mencemuh orang yang bijak pandai yang sepatutnya boleh dijadikan role model dan mengikuti orang yang kurang cerdik untuk dijadikan role model dalam hidup?

Kita ambil contoh Dr. Amalina Bakri. Beliau pernah memberitahu betapa bahayanya produk timbang kilo yang berada di pasaran Malaysia, tetapi masyarakat masih membelinya kerana mempercayai orang-orang terkenal yang kononnya menggunakan produk tersebut yang berjaya cantik.

Tak percaya? Masihkah anda ingat pada awek cendol yang pernah terkenal seketika kemudian dia menjadi duta untuk produk kosmetik timbang kilo Doly-Moly Pinky. Masyarakat ada yang membeli produk tersebut kerana mempercayai dia cantik disebabkan produk tersebut.

Masyarakat tidak mempercayai orang yang berkaliber dan memperkecilkan ilmu yang mereka peroleh tapi mempercayai orang yang tidak mempunyai ilmu dan kepakaran dalam bidang tersebut.

Benar, tak semestinya belajar tinggi tak boleh berjaya. Tetapi mentaliti anda harus berubah, orang yang berjaya dalam sesuatu bidang itu telah belajar dan mempunyai kepakarannya dan janganlah sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum dan merasakan jika ada yang mempersembahkan kebenaran seumpama ingin menjatuhkan produk atau individu tertentu.

Cukup-cukuplah menjadikan orang yang melakukan perkara bodoh viral dan terkenal kerana ia akan merosakkan generasi akan datang. Bayangkan generasi akan datang jika kita terikut-ikut dengan arus teknologi dan menjadi manusia yang tidak berguna. Itukah yang anda mahukan? Selamat merenung ke luar jendela!