Baru-baru ini rekod dunia maraton telah dipecahkan oleh Eliud Kipchoge yang berjaya menamatkan keseluruhan maraton dalam masa dua jam sahaja. Ianya merupakan satu pencapaian yang menakjubkan dan menjadikan pelari dari Kenya itu, manusia pertama yang berjaya menamatkan keseluruhan marathon dalam tempoh dua jam.

Keesokannya, pelari wanita, Brigid Kosgei juga turut berjaya menetapkan rekod baru dalam kategori maraton wanita di Chicago. Apa yang menyebabkan kontroversi ini berlaku adalah kedua-dua atlet tersebut memakai kasut Nike ZoomX Vaporfly yang dikatakan memberikan kelebihan kepada mereka.

Sumber: Nike

Kasut berjenama Nike ZoomX Vaporfly dilancarkan pada Julai 2016 dengan tagline ‘Kasut lumba untuk memecahkan rekod’ bukan lah hanya sekadar tagline pemasaran untuk jenama tersebut.

Menurut laporan The Times, rekod dunia yang dipegang oleh Dennis Kimetto pada tahun 2014 iaitu selama  2:2:57 telah dipintas sebanyak 5 kali, dan atlet-atlet yang memecahkan rekod tersebut didapati memakai kasut tersebut.

Justeru itu, ramai atlet profesional membuat aduan dan menggesa  IAAF (Persatuan Antarabangsa Persekutuan Olahraga) dan Unit Integriti Olahraga untuk memeriksa kasut itu bagi menentukan jika ianya memberikan kelebihan yang tidak adil kepada pelari.

Mereka percaya kasut yang mempunyai plat karbon yang diletakkan di bahagian tengah tapak kasut tersebut telah ‘merosakkan’ sukan ini kerana mampu memberi atlet kelebihan.

Baru-baru ini, IAAF telah mengeluarkan satu kenyataan kepada The Times mengakui isu tersebut. Menurut kenyataan tersebut, kemajuan terkini dalam teknologi bermakna konsep ‘bantuan’ untuk atlet telah menjadi topik perdebatan di dalam dunia olahraga. IAAF juga telah menubuhkan sebuah jawatan kuasa khas untuk menyiasat tentang isu tersebut tambah mereka lagi.

Terdahulu Nike telah memperkenalkan koleksi Spongebob Squarepants sempena ulang tahun ke 20 siri kartun tersebut. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

Nike Perkenalkan Koleksi ‘Spongebob Squarepants’ Sempena Ulang Tahun Ke-20

Teknologi Terkini Nike ‘Joyride’ Berdepan Kontroversi

 

Sumber