Syarikat Nissan Motor mungkin akan menjual ibu pejabatnya di Yokohama untuk membiayai pelan penstrukturan semulanya.
Terletak di daerah Minato-Mirai 21 di Yokohama, di mana Nissan telah berpindah dari Tokyo lebih 15 tahun lalu, ibu pejabat pengeluar kenderaan itu dianggarkan bernilai lebih ¥100 bilion, iaitu hampir RM3.04 bilion.
Baca Juga:
- Nissan Semakin Kritikal, Kini Rancang Tutup Kilang Dan Buang 20,000 Pekerja
- Nissan Batal Gabung Dengan Honda, Pelan RM265 Bilion ‘Hancur’
- Nissan Sudah ‘Nazak’, Hanya Boleh Bertahan Sekitar 12 Ke 14 Bulan Lagi
Memetik portal Autoevolution, media Jepun mendedahkan bahawa bangunan di pusat bandar Yokohama itu tersenarai sebagai salah satu aset yang dikatakan bakal dijual oleh Nissan sebelum akhir Mac 2026.
CEO Nissan luluskan penjualan ibu pejabat

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat itu, Ivan Espinosa, dilaporkan telah meluluskan senarai tersebut selepas mengadakan pertemuan dengan seorang penganalisis kewangan minggu lalu.
Setelah dijual, bangunan tersebut mungkin masih akan digunakan oleh Nissan, memandangkan syarikat automotif itu berkemungkinan akan terus menyewanya semula melalui perjanjian jual dan sewa balik (sale-and-leaseback) dengan pembeli — langkah ini dijangka dapat membantu syarikat mengurangkan hutangnya.
Nissan kini sedang berusaha keras untuk mengurangkan kos selepas mencatatkan kerugian sebanyak 670.9 bilion yen (RM19.74 bilion) bagi tahun fiskal yang berakhir pada bulan Mac lalu.
Kerugian itu termasuk kerugian susut nilai sebanyak 460 bilion yen (RM13.52 bilion) dan kos penstrukturan semula berjumlah 60 bilion yen (RM1.76 bilion).

Selain itu, pihak Jepun juga akan menutup tujuh daripada 17 kilang yang sedang beroperasi di seluruh dunia, termasuk dua daripadanya yang terletak di Jepun sendiri.
Dianggarkan sekitar 20,000 pekerjaan akan dikurangkan dalam beberapa tahun akan datang. Kira-kira 3,000 kakitangan dari bahagian Penyelidikan dan Pembangunan telah dipindahkan untuk memberi tumpuan kepada inisiatif pengurangan kos.
Dalam usaha untuk mengurangkan kos, Nissan menangguhkan pembangunan beberapa model dan menamatkan enam platform kenderaan mereka.

Langkah ini akan mengurangkan kerumitan dalam proses pengilangan dan akan turut digunakan dalam pengurangan bilangan model yang ditawarkan.
Menurut media Jepun, pengeluar kereta ini berharap dapat kembali mencatat keuntungan pada tahun fiskal akan datang.
“Nissan sedang mempertimbangkan semua kemungkinan untuk memulihkan prestasi perniagaannya, namun tiada maklumat khusus yang dapat dikongsi pada masa ini,” kata seorang wakil Nissan Amerika kepada The Drive.