Syarikat pembuatan kereta lagenda dari Jepun iaitu Nissan dilihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini berada di dalam fasa yang mencabar.

Situasi ini dikuatkan lagi apabila laporan terkini Nissan Motor Co merancang memberhentikan sekitar 20,000 pekerja di seluruh dunia.

nissan
Sumber Gambar: The Guardian

Jumlah ini dilihat lebih dua kali ganda daripada jumlah yang diumumkan pada November lepas yang dipercayai sebagai sebahagian usaha penstrukturan semula yang lebih terperinci dalam menghadapi kesukaran.

Bakal melibatkan 15% daripada jumlah tenaga kerja

nissan
Sumber Gambar: carlist

Agensi berita Kyodo melaporkan bahawa pengurangan tersebut melibatkan kira-kira 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja Nissan di seluruh dunia.

Pengumuman ini dibuat menjelang penerbitan laporan kewangan penuh syarikat bagi tahun fiskal 2024 yang dijadualkan pada hari Selasa.

Para pemerhati pasaran juga sedang memantau kesan kenaikan tarif automotif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap prestasi syarikat-syarikat pengeluar kenderaan.

Lebih banyak kilang bakal ditutup

nissan
Sumber Gambar: Shutterstock

Nissan juga sedang mempertimbangkan untuk menutup salah satu daripada lima kilang pemasangan kenderaan domestiknya di Jepun. Langkah ini diambil sebagai usaha untuk menyusun semula kapasiti pengeluaran dan menangani penurunan jualan.

Bagaimanapun, tindakan ini dijangka akan menghadapi tentangan yang kuat daripada kesatuan pekerja dan pihak-pihak berkepentingan yang lain.

Pada bulan November tahun lalu, Nissan telah mengumumkan rancangan untuk mengurangkan 9,000 pekerjaan dan mengurangkan kapasiti pengeluaran global sebanyak 20 peratus menjelang tahun fiskal 2026.

Ini susulan prestasi yang kurang memuaskan di pasaran Amerika Syarikat dan China.

Dua kilang di Thailang tutup

Nissan
Sumber Gambar: Regions

Pada bulan Februari pula, syarikat itu turut mengumumkan penutupan sebuah kilang di Thailand serta dua lagi kilang yang lokasinya belum didedahkan.

Pusingan penstrukturan semula yang terkini ini dilaksanakan seiring dengan penelitian semula strategi pelaburan syarikat di bawah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu dilantik, Ivan Espinosa, yang mula memegang jawatan pada 1 April.

Dalam pada itu, disebabkan kos penstrukturan semula yang tinggi, Nissan menjangkakan kerugian bersih antara 700 bilion yen hingga 750 bilion yen (kira-kira RM21.5 bilion hingga RM23 bilion) bagi tahun fiskal 2024. Ini merupakan kerugian tahunan terbesar dalam sejarah syarikat.