Usahawan kosmetik yang juga transgender Muhammad Sajjad Kamaruzzman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat mendakwa dia merasa seolah digunakan untuk mengalih perhatian masyarakat terhadap isu lain di Malaysia. Dia yang kini menetap di Australia setelah mendapat suaka berkata dirinya digunakan sebagai kambing hitam untuk dijadikan bahan politik dan agama.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Sajat yang ditemuramah oleh Harith Iskandar dalam program bual bicara ‘What’s Going On Malaysia?’ berkata disebabkan itu dia merasa tertekan, tidak selamat dan bahkan ada niat untuk membunuh diri.
Perasaan itu semakin memuncak setelah dia dilayan dengan tidak adil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) awal tahun ini. Dalam temu bual dengan New York Times baru-baru ini, Sajat mendakwa pegawai agama telah meraba-raba bahagian sulitnya ketika dia dipanggil untuk disoal siasat. Dia kemudian membuat laporan polis berhubung isu itu. Tetapi polis mendakwa tiada laporan serangan seksual yang dibuat oleh Sajat.
Kejadian-kejadian inilah yang menyumbang kepada keputusan beliau untuk keluar dari Malaysia dan berlindung di tanah asing. Di Australia, dia berkata dilayan dengan baik dan lebih dihargai serta bebas untuk menjadi dirinya sendiri. Rakyat Australia juga telah banyak membantunya menyesuaikan diri di tempat tinggalnya dan kini sedang sibuk untuk menyambung semula perniagaannya.
Selain daripada isu jantina, Sajat juga mendapat perhatian semua pihak apabila dia dilaporkan membuat ibadah umrah di Tanah Suci Mekah dengan berpakaian seorang wanita. Disebabkan itu, dia teruk dikritik oleh pelbagai pihak dan ada yang mendakwa bahawa dia telah merosakkan tempat suci umat Islam.
Dia memberitahu Harith bahawa kerajaan Arab Saudi membenarkan dia mengerjakan umrah seperti seorang wanita setelah dia menunjukkan surat yang menyatakan bahawa dia telah menukar jantina. Semasa di sana, dia diminta untuk memakai hijab dan pergi ke bahagian wanita untuk menunaikan umrah, lapor Sinar Harian.
Selama berada di Tanah Suci Mekah, tiada diskriminasi atau layanan tidak adil yang berlaku terhadapnya. Proses ibadah umrah juga berjalan dengan lancar dan dipermudahkan tanpa sebarang masalah yang timbul. Dia juga berkata bahawa dia berjaya melakukan dua kali ibadah umrah sepanjang berada di sana.
Sajat dilaporkan sedang menjalani kuarantin di Canterbury, Australia selepas berbulan-bulan dalam pemburuan dengan destinasi terakhir di Bangkok, Thailand. Dia secara rasmi berjaya berhijrah ke Australia pada 18 Oktober lalu dengan bantuan kerajaan Australia.
Dia yang mengaku dirinya sebagai transgender dalam sesi temuramah dengan Harith mahu memulakan hidup baru di Australia. Memetik laporan Berita Harian, sebagai ‘orang baharu’, Sajat kini sedang giat menyesuaikan diri di negara orang. “Saya hendak ‘move on’ dan bina kehidupan baharu di sini sebagai ‘transwoman’. Saya hendak teroka dan buka perniagaan di sini. Apa yang berlaku biarlah berlalu, saya belajar daripada kesilapan,” katanya.
Selepas ditahan di Thailand, timbul dakwaan sajat sebenarnya lari daripada hutang. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.
Selepas Ditahan Di Thailand, Timbul Dakwaan Sajat Sebenarnya Lari Daripada Hutang?
Lebih 5 Bulan ‘Hilang’, Sajat Yang Bersembunyi Di Thailand Ditahan Pihak Berkuasa
Gagal Hadir Ke Mahkamah, JAIS Kerah 122 Anggota Untuk Buru Dan Tangkap Sajat