Dalam dunia teknologi yang semakin kompetitif dan sentiasa berubah, nama Panasonic bukanlah asing.
Dikenali sejak dekad 1950-an sebagai pelopor peralatan elektronik – daripada periuk nasi, televisyen hinggalah ke bateri dan kamera video – jenama gergasi dari Jepun ini kini mengambil langkah besar untuk memastikan kelangsungan dan relevansi dalam landskap perniagaan global yang mencabar.
Baru-baru ini, Panasonic Holdings mengumumkan bahawa syarikat itu akan mengurangkan sebanyak 10,000 pekerjaan di seluruh dunia menjelang Mac 2026, lapor NDTV.
Separuh daripada jumlah itu melibatkan kakitangan di Jepun, manakala selebihnya adalah pekerja luar negara.
Langkah ini merangkumi kira-kira 4% daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja global Panasonic yang kini mencecah 230,000 orang.
Panasonic Mahu Fikir Masa Hadapan
Menurut kenyataan rasmi syarikat, keputusan ini diambil selepas satu semakan menyeluruh terhadap keberkesanan operasi, khususnya dalam jabatan jualan dan sokongan tidak langsung.
Pengurangan tenaga kerja ini akan berlaku melalui penggabungan jabatan, penutupan lokasi tertentu, penamatan perniagaan yang mengalami kerugian, serta skim persaraan awal bagi pekerja di Jepun.
Syarikat memberi jaminan bahawa semua proses pemberhentian akan dilaksanakan mengikut undang-undang buruh di setiap negara yang terlibat.
Ketua Pegawai Eksekutif Panasonic Holdings, Yuki Kusumi, menegaskan bahawa langkah ini bukan sekadar pengurangan kos, tetapi strategi penting untuk menstruktur semula syarikat supaya lebih cekap dan mampu berdaya saing dalam jangka panjang.
Dalam satu temu bual bersama akhbar Nikkei, Kusumi menyatakan dengan jelas bahawa “pemberhentian kerja adalah perlu untuk mencapai prestasi yang lebih baik berbanding syarikat lain.”
Menariknya, Kusumi sendiri turut mengambil tanggungjawab peribadi dengan memotong sebanyak 40% daripada gajinya.
Kewangan Panasonic
Dari segi kewangan, Panasonic menganggarkan kos penstrukturan ini akan mencecah sekitar USD 896 juta.
Namun, syarikat itu yakin langkah ini akan membuahkan hasil, dengan sasaran peningkatan keuntungan sebanyak USD 1 bilion menjelang Mac 2027 dan sehingga USD 2.1 bilion menjelang 2029.
Sebanyak USD 483 juta daripada peningkatan keuntungan itu dijangka datang daripada pelaksanaan pemberhentian kerja sahaja.