Insiden paip gas meletup di Putra Heights bukan sahaja mengganggu bekalan gas ke beberapa kawasan sekitar Selangor tetapi juga memberi kesan langsung kepada operasi pengilangan syarikat gergasi elektronik, Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd (PANAMY).

Menurut laporan The Edge yang memetik kenyataan terbaharu syarikat kepada Bursa Malaysia, gangguan bekalan gas ini dijangka mengurangkan pendapatan tahunan mereka sebanyak 3% berbanding prestasi kewangan tahun lepas.

Angka-angka Kritikal

Untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024, Panasonic melaporkan pendapatan tahunan sebanyak RM905.69 juta, menurun 8.7% berbanding RM991.62 juta pada tahun sebelumnya.

Panasonic
Sumber: Bernama

Keuntungan bersih syarikat pula direkodkan pada RM92.65 juta. Berdasarkan unjuran 3% kehilangan pendapatan, anggaran kasar kerugian tersebut mencecah RM27.2 juta.

Bagi sembilan bulan pertama FY2025 (berakhir 31 Disember 2025), prestasi kewangan Panasonic terus menunjukkan trend menurun dengan pendapatan RM643.2 juta (berbanding RM698.2 juta pada tempoh sama tahun lepas) dan keuntungan bersih merosot kepada RM37.38 juta (RM75 juta sebelumnya).

Produk Terjejas & Langkah Mitigasi

Gangguan bekalan gas ini khususnya menjejaskan pengeluaran kipas dan seterika elektrik Panasonic di kilang Shah Alam.

Namun, produk lain seperti pembersih vakum, pancuran mandian rumah, dan beberapa barangan lain tidak terjejas.

Panasonic
Sumber: The Edge

“Sebagai respons, kami telah mengaktifkan business continuity plan dan melaksanakan langkah-langkah kontingensi untuk memastikan operasi kritikal tetap berjalan dengan gangguan rantaian bekalan yang minima,” jelas Panasonic.

Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Takashi Sugihara, menekankan bahawa syarikat sedang berusaha mengurangkan kesan gangguan terhadap pelanggan dan rantaian bekalan.

“Kami sedang mencari sumber alternatif bekalan gas dan berhasrat untuk memulihkan kerugian pendapatan sebaik operasi kembali normal,” katanya.

Tempoh Gangguan Bekalan Gas

Menurut Gas Malaysia Bhd (GASMSIA), gangguan bekalan gas di beberapa lokasi – termasuk Shah Alam, Petaling Jaya, Port Klang, dan beberapa kawasan lain – dijangka berterusan sehingga 20 April 2025.

Panasonic
Sumber: Bernama

Kejadian ini telah menyebabkan beberapa industri dan pengguna domestik menghadapi kesulitan, walaupun usaha pemulihan sedang giat dijalankan.