Menjejak ke tahun 2025, makin ramai dari golongan milenial yang sudah memiliki keluarga sendiri dan ada yang sudah dikurniakan cahaya mata.

Namun begitu, timbul pula isu apabila generasi milenial yang lebih terdedah dengan era modenisasi serta budaya Barat langsung mulalah meletakkan nama dengan ejaan yang diluar kotak fikiran kita.

Seorang netizen di laman Threads meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya selepas berdepan dengan situasi menemui nama anak yang terlalu ‘fancy’ di dalam kehidupannya.

Nama Sofea tapi eja Xoefeya

“Xoefeya = Sofea. Ibu bapa sekarang bagi nama dengan ejaan yang fancy,” keluhnya.

Disoal bagaimana untuk menyebutnya, dia mendedahkan ibu bapanya tetap memanggil anak sebagai Sofea sahaja walaupun ejaan seperti nama Barat.

Susulan itu, ramai pengguna lain turut berkongsi pengalaman mereka sendiri apabila turut pernah menjumpai kanak-kanak atau individu dengan nama yang terlalu fancy sehingga sukar untuk mengejanya.

“Seorang anak murid yang saya tidak boleh dilupakan- Esquandar. Cer teka macam mana nak sebut,” kongsi seorang wanita.

“Kawan sekolah saya, Muhammad Exekiel mikhael. Kelahiran tahun 1997. Cane mak mak zaman tu boleh fikir nama gitu. Terkedu kitanya ,” ujar seorang lagi.

“Dia nak lawan nama anak elon musk ke weh? Nama anak elon musk X Æ A12..entah cmne sebut pon xtau,” komen seorang netizen lain.

“Fancy la macam mana pun, nanti balik kampung Opah panggil Piya juga,” seloroh seorang lagi.

Dalam pada itu, netizen turut meluahkan rasa kesian kepada individu yang diberikan nama sebegini kerana berpotensi bakal menjadi sasaran buli di sekolah dan sukar mengeja untuk diisi dalam kertas uian.

Sebelum ini, kami juga pernah berkongsi kisah sisi gelap memiliki nama yang terlalu panjang yang diceritakan oleh seorang individu.