Sheila On 7, band legenda dari Indonesia yang sudah menghibur rakyat sejak akhir 90-an, bukan sekadar kumpulan muzik biasa.

Mereka bukan saja terkenal kerana lagu-lagu malar segar seperti Dan, Sephia, dan Melompat Lebih Tinggi, tapi juga kerana aura ‘low-key’ dan sifat membumi yang jarang ada pada artis terkenal.

Tapi baru-baru ini, muncul satu ‘konspirasi’ yang membuat ramai Sheila Gank (nama untuk peminat tegar mereka) tergelak, Sheila On 7 dikatakan pantang buat persembahan pada hari Rabu.

Sheila On 7

Kenapa? Sebab Duta kena ronda kampung!

Rabu Hari Ronda: Misteri Terjawab?

Menurut laporan KapanLagi, tular kini di media sosial X, satu gambar menunjukkan jadual ronda malam sebuah kampung di Yogyakarta.

Apa yang menarik perhatian, nama Duta, vokalis utama Sheila On 7, tertera dalam jadual tersebut – dan ya, harinya ialah Rabu.

Ramai netizen percaya ini jawapan sebenar kenapa kumpulan ini hampir tak pernah buat persembahan pada hari Rabu.

Sheila On 7

Menurut teori peminat, Duta komited dengan tugas ronda malam – satu tanggungjawab komuniti yang serius di Indonesia.

Tanpa pengesahan rasmi dari pihak band, teori ini tetap jadi kegemaran ramai kerana ia mencerminkan sisi Duta yang sangat merendah diri.

Duta Rendah Diri

Selain itu, Duta turut dikenali sebagai seorang yang sangat sederhana, kerap hadir ke kenduri kahwin jiran, bersarapan di warung, dan bersantai seperti orang biasa.

Dalam dunia hiburan yang penuh dengan drama dan kemewahan, sikap seperti ini sangat menyentuh hati.

Sheila On 7

Malah, gaya hidup sederhana ini turut diamalkan seluruh anggota Sheila On 7.

Senarai permintaan artis sebelum konsert pun dikatakan sederhana, mereka cuma minta teh panas dan jahe – bukan permintaan eksotik macam jet peribadi atau bilik VIP.