Pegawai penyiasat trafik yang bertanggungjawab membuka kertas siasatan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie mengakui bahawa dia telah memadamkan 2 rakaman video yang menunjukkan mangsa dilanggar.
Deputi Supritendan Mohd Nazri Abdul Razak, 45, telah didakwa membunuh Muhammad Zaharif di Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati, antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pegawai yang membuka kereta siasatan, Inspektor Jong Pit Chao, 37, menegaskan dia menerima video rakaman yang boleh menjadi bahan bukti itu menerusi aplikasi WhatsApp pada 17 Disember.
Di mana video itu menunjukkan kereta Ativa putih melanggar mangsa yang memakai motosikal Yamaha 135LC, sehingga mengakibatkan kematian.
Jong Pit Chao mendedahkan rakaman daripada dashcam itu dihantar seorang wanita yang meletakkan kenderaannya di bahu jalan berhampiran lokasi kemalangan.
Jong Pit Chao bagaimanapun menyatakan dia ada alasan tersendiri untuk memadamkan video itu. Kerana kes itu sudah diserahkan kepada pegawai penyiasat yang baharu iaitu, Asisten Superintendan Chua Sze Chuan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Menurut laporan Harian Metro, Jong Pit Chao yang merupakan saksi ke-29 kes tersebut memberitahu hakim bahawa dia tidak dapat menunjukkan video tersebut kerana sudah dipadamkan daripada simpanannya.
Ketika ditanya kenapa dia tidak menyimpan bahan bukti itu, dia menjelaskan bahawa dia bukan lagi pegawai penyiasat, dan dia sudah memadamkannya. Sambil menambah dia tidak boleh menyebarkan bukti tersebut.
Namun laporan yang sama menyatakan Jong Pit Chao menyatakan dia sudah menyerahkan bahan bukti itu kepada Chua.
Jong juga akui bahawa kes ini luar biasa. Ketika dia diminta menjelaskan kenapa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sambil mengambil kira kemungkinan elemen di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jong berkata: “Luar biasa yang saya maksudkan ialah, berdasarkan pengalaman saya sebagai pegawai penyiasat trafik, kenderaan yang terbabit termasuk kereta dan motosikal tidak berada di lokasi kejadian.
“Berdasarkan keterangan saksi awam, motosikal mangsa dikejar oleh sebuah Perodua Ativa dan dilanggar dari belakang. Maksudnya, ini kejadian luar biasa yang mana wujud insiden mengejar antara kereta dan motosikal,” katanya.