Pada masa kini, Grab menjadi pilihan utama untuk warga tempatan untuk bergerak ke sesuatu lokasi dan perkhidmatan teksi sering menjadi alternatif jika ada keperluan sahaja.
Seorang pelancong dari Barat berkongsi sebuah video memperlihatkan situasi dimana dia sedang mencari perkhidmatan kenderaan untuk membawanya dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Di dalam video itu, dia cuba menggunakan aplikasi Uber yang mana digunakan secara meluas di luar negara dan berharap dapat mencari pemandu tempatan yang boleh mengambilnya.

“Saya tidak memiliki wang tunai tempatan dan tak boleh pesan perkhidmatan Uber,” keluhnya.
Tetapi hasratnya terbatal susulan baru mengetahui Uber sudah tidak beroperasi lagi di Malaysia dan bertanyakan alternatif servis teksi di sebuah hotel berdekatan tetapi telah disarankan untuk menggunakan aplikasi Grab oleh pengawal keselamatan di situ.
Di dalam keadaan terburu-buru, dia berjaya menemui seorang pemandu teksi yang sedia membawanya ke destinasi yang dimahukan dengan harga RM150, tanpa menggunakan meter seperti yang diwartakan.
Pemandu teksi langsung menjemput lelaki itu untuk masuk ke dalam keretanya dan membawa pergi ke ATM untuk mengeluarkan wang tunai terlebih dahulu.

Seusai selesai, pemandu teksi itu langsung melanjutkan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta memenuhi permintaan pelancong Barat itu untuk sampai dengan kadar segera menggunakan laluan ekspres.
Lelaki itu langsung membayar caj perjalanan sebanyak RM150 sambil memberikan tips tambahan RM50 kerana menepati masa dan mungkin juga susulan hospitalitinya.
Video itu bagaimanapun dipenuhi komentar oleh warganet tempatan apabila majoritinya mendakwa lelaki bernama Wilson itu telah diperdaya dengan dikenakan caj yang mahal dek kerana kurang arif dengan caj yang sepatutnya di Kuala Lumpur.
Ramai turut mempertikaikan tindakan pemandu teksi yang terus meletakkan caj perjalanan yang mahal tanpa menggunakan meter padanya.
Selain itu, sebahagian warganet mendedahkan caj semasa di antara Kuala Lumpur ke KLIA sepatutnya tidak melebihi RM100 kerana ia bukanlah waktu puncak ataupun perkhidmatan premium atau pun kereta MPV yang luas.
Oleh itu, warganet memberikan nasihat kepada pelancong untuk membuat sedikit carian terlebih dahulu di internet sebelum datang ke sesebuah negara agar tidak tertipu dengan caj ‘gila’ sedemikian yang dikenakan oleh pemandu teksi tempatan.
Dalam pada itu, ramai percaya bagi pelancong untuk membayar caj sedemikian mungkin murah sahaja memandangkan ia telah ditukar dari wang negara asal yang jauh lebih besar nilainya sekaligus tidak merasa terbeban tetapi ini bakal memberikan persepsi negatif kepada nama negara jika mereka mengetahui kegiatan caj terlalu mahal kepada pelancong.