Bau durian yang kuat dan dianggap ‘busuk’ membuatkan ia diharamkan sama sekali untuk di bawa ke dalam bangunan atau hotel komersial.

Seorang pelancong China yang kurang cakna perihal itu telah membawa buah durian ke dalam bilik hotel secara tidak sengaja, sekaligus dikenakan caj tambahan.

Difahamkan dia terpaksa mengeluarkan wang sejumlah SGD200 (~RM657) sebagai caj pembersihan seperti yang tertakluk dalam peraturan hotel berkenaan.

Menerusi hantaran di platform Xiang Hong Shu yang disiarkan semula oleh laman WOB, pelancong wanita itu mendedahkan dirinya hanya membelanjakan sekitar SGD13 bersamaan RM42 untuk sebuah durian dan tidak menyangka perlu membayar caj tambahan yang mencecah ratusan ringgit hanya untuk raja buah tersebut selepas ditambah kos keseluruhan.

Durian
Sumber Gambar: XHS

Tambahnya, dia pertimbang membawa buah durian balik bersamanya ke bilik hotel kerana gerai itu tidak menyediakan tempat duduk untuk pelanggan.

“Kawan-kawan saya dan saya minta durian dibungkus, dan di dalam teksi, saya senyap saja bila kawan-kawan bercakap pasal bau durian yang kuat tu sebab saya takut pemandu tak suka.”

“Pemandu dengar perbualan kami tapi dia tak cakap apa-apa pun tentang bau tu.”

Keesokan harinya, selepas kembali ke bilik, dia dapat notis rasmi daripada pihak pengurusan hotel pasal bau durian yang kuat tu. Notis tu beritahu dia kena bayar caj pembersihan tambahan.

Dia pun buat sedikit carian dan mengaku dia memang tak tahu langsung pasal peraturan “Dilarang Bawa Durian” ni.

Dia kata ramai pelancong lain pun tak sedar benda ni. Pelancong tu cuba bincang dengan staf hotel nak minta tak payah bayar caj tu, atau sekurang-kurangnya dapat diskaun, sebab dia “betul-betul tak tahu”. Tapi, usahanya tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

“Saya takkanlah sebodoh itu datang ke negara asing dan melangkaui batas mereka.”

Pihak staf hotel menolak permohonan pelancong itu dengan sopan. Mereka menjelaskan bahawa untuk membersihkan bilik dan menghilangkan bau durian, mereka perlu mengupah pakar dan bilik tersebut tidak dapat didiami selama beberapa hari.

“Staf hotel tu bersikap sopan, dan mereka beritahu saya yang hotel lain mungkin akan kenakan caj sehingga SGD500 untuk yuran pembersihan sahaja.”

Pelancong itu juga menjelaskan bahawa durian tersebut sudah dibungkus dengan plastik dan diletakkan di dalam beg, dan staf hotel tidak menyedari kehadiran buah itu ketika dia membawanya masuk.