Selalunya kita mempunyai gambaran Jepun sebagai negara yang dihuni oleh masyarakat yang berbudi pekerti dan paling ketara adalah dalam perihal kebersihan.
Sudah banyak kali dilaporkan bagaimana rakyat Jepun yang datang ke mana-mana negara akan membersihkan sampah sarap meskipun berada di tempat orang. Jadi, banyak negara terinspirasi untuk berubah menjadi lebih baik seperti mereka.
Rupanya Malaysia juga sudah bertambah bagus apabila seorang pelancong Jepun berkongsi pendapatnya tentang tahap kebersihan serta kemudahan yang tersedia di Maalysia.
Pada pandangan peribadinya, dia sangat kagum dengan Malaysia apabila mendapati kebersihan terjaga dengan baik apatah lagi bila dirinya sendiri melihat tiada satu sampah di sepanjang jalan yang dilalui ketika mahu ke satu taman rekreasi di Kuala Lumpur.
“Saya kagum dengan Malaysia, tiada sampah. Jalan pun bersih,” katanya di dalam video.
Tambahnya lagi, Malaysia bukan sahaja tampak cantik malah bersih secara keseluruhannya.
Walaupun terasa bahang panas di bawah sinaran matahari, dia masih merasa selesa.
Malah, dengan pemandangan indah dengan tumbuhan dan pokok menghijau yang terbentang di sepanjang perjalanan itu membuatkan dia terlupa akan suhu panas di Malaysia seketika.
Di dalam video itu, dia berulang-kali mengatakan Malaysia sememangnya bersih kerana sukar mendapati secebis sampah pun sewaktu berjalan di situ.
Selain itu, dia kelihatan kagum dengan infrastruktur taman rekreasi yang dikelilingi dengan flora dan fauna yang cantik.
“Macam tempat sempurna untuk lepak pada hari Sabtu ,” ujarnya selepas menerokai kawasan sekitar itu yang dipercayai terasa kondusif.
Menjengah ke ruangan komentar, majoriti netizen tempatan meluahkan rasa terharu dengan pujian itu bagaimanapun mengakui masih jauh perjalanan untuk mencapai tahap kebersihan secara menyeluruh.
Sebahagian netizen percaya semua ini boleh terjadi kerana mempelajari nilai murni ini dari contoh yang ditunjukkan oleh Jepun dan kini menjadi ikutan di negara ini.
@molly_travel lake garden KL #lakegarden #kualalumpur #malaysia
Ada yang berpendapat sebahagian lokasi yang sering menjadi tarikan pelancong selalunya mendapat perhatian yang lebih oleh badan kerajaan dalam menjaga imej negara di mata dunia.


Apa-apa pun, ini merupakan satu tanda positif yang layak diambil sebagai pencapaian dan menjadi batu loncatan untuk sampai ke tahap yang lebih hebat.