Sejak pembukaan Apple Store pertama Malaysia di Tun Razak Exchange (TRX) pada Jun tahun lepas, ia telah menjadi tumpuan penggemar teknologi dan pelancong.
Baru-baru ini, seorang pelancong dari Indonesia berkongsi pemerhatiannya mengenai ekonomi Malaysia selepas menghabiskan masa dua jam di sana dengan niat untuk melihat gelagat pembeli di sana.
Dalam satu catatan viral di X, pengguna media sosial itu meluahkan rasa kagum melihat aliran pelanggan yang tidak putus-putus membeli produk Apple seperti iPhone, iPad, MacBook, dan iMac.
Menurutnya, produk-produk ini laris seperti ‘goreng pisang panas’.
“Saya menghabiskan masa dua jam di kedai ini dan melihat aliran orang yang tidak henti-henti datang dan pergi, membeli iPhone, iPad, MacBook Pro, iMac, dan pelbagai produk Apple.
“Negara ini sedang berkembang dengan baik. Golongan menengah di sini kuat dari segi ekonomi,” tulisnya.
Selain pemerhatian di TRX, pelancong itu juga menyatakan bahawa trafik di jalan raya sangat sibuk dan pembinaan bangunan baru berjalan dengan pantas, membuktikan pembangunan di pesat Kuala Lumpur.
Ramai netizen bersetuju dengan pemerhatian ini dan menegaskan bahawa Malaysia semakin menjadi destinasi utama pelancong kerana penerbangan yang murah, makanan yang lazat, dan tarikan pelancongan yang menarik.
Produk Apple Lebih Murah di Malaysia?
Beberapa pengguna media sosial turut menyatakan bahawa harga produk ini di Malaysia lebih murah berbanding di Indonesia.
Seorang pengguna lain menekankan bahawa perbelanjaan pengguna terhadap jenama mewah mencerminkan kekuatan ekonomi di Malaysia.
“Jika jenama mewah seperti ini masih laris, itu tanda ekonomi sedang berkembang dengan baik,” tulis seorang netizen.
Untuk rekod, Apple Store pertama di Malaysia ini dibuka pada Jun yang lalu dengan lebih daripada 160 pekerja diambil untuk membantu pelanggan yang hadir ke Apple Store.