Whoosh adalah perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi moden di Indonesia yang telah mengurangkan masa perjalanan antara Jakarta dan Bandung dengan ketara.
Menjadi kebanggaan buat rakyat Indonesia kerana ini merupakan kereta api berkelajuan tinggi pertama di negara jiran. Kereta api Whoosh ini telah dikendalikan oleh Kereta Cepat Indonesia China (KCIC), usaha sama antara syarikat Indonesia dan China.
Berdasarkan kenyataan dari KCIC yang dikongsikan semula oleh FB ASEAN Culture & History, Whoosh telah beroperasi sejak tahun 2020 di mana memperlihatkan jumlah penumpang asing mencecah ratusan ribu.
Bagaimanapun, majoriti penumpang itu pula datang dari Malaysia sekaligus menjadi sumber utama pendapatan buat perkhidmatan Whoosh itu.
“Sejak Whoosh mula beroperasi, lebih 200,000 penumpang asingnya datang dari Malaysia. Ini menjadikan Malaysia sebagai negara sumber utama penumpang yang menggunakan Whoosh,” ujar Whoosh.
Menariknya, seorang netizen Indonesia malah menjangkakan syarikat kereta api berkelajuan tinggi Indonesia bakal bankrap jika tiada kehadiran pelancong Malaysia.

Dengan kenyataan ini, ia cukup menggambarkan betapa besarnya impak yang bakal dihadapi oleh syarikat Whoosh jika ketiadaan sokongan dari rakyat Malaysia memandangkan negara kita sudah menjadi sumber utama penumpang yang menggunakan perkhidmatan Whoosh sejak pembukaannya lagi.
Apa sebab masalah kewangan yang tidak stabil?
Kereta api berkelajuan tinggi Whoosh di Indonesia menghadapi situasi kewangan yang mencabar. Walaupun jumlah penumpang terus meningkat sejak pelancarannya, Whoosh mencatatkan kerugian yang besar dalam tahun pertama operasinya dan dijangka akan terus mengalami defisit untuk beberapa tahun akan datang.
Kerugian ini disebabkan terutamanya oleh kos pembinaan yang tinggi dan beban hutang yang besar yang ditanggung oleh perusahaan milik negara (BUMN) Indonesia yang terlibat, terutamanya PT Kereta Api Indonesia (KAI).
Pembayaran faedah pinjaman yang besar juga menyumbang kepada masalah kewangan ini.
Berdasarkan rekod kewangan tahun sebelum ini, Konsortium yang mengendalikan Whoosh, PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC), telah melaporkan kerugian yang besar. Dalam separuh pertama tahun 2024, perusahaan milik negara (BUMN) Indonesia yang terlibat mencatatkan kerugian sebanyak Rp 3.53 trilion (AS$221.8 juta) berkaitan dengan Whoosh.
Unjuran kewangan pada akhir tahun 2023 menjangkakan defisit sebanyak Rp 3.15 trilion (AS$200 juta) dalam tahun pertama operasi Whoosh.