Seorang pelancong asing yang sedang bercuti di ibu kota nyaris menjadi mangsa kemalangan selepas beberapa penunggang motosikal didapati menunggang di atas laluan pejalan kaki berhampiran Menara Kuala Lumpur.
Dalam video yang dikongsi di Facebook pada 22 Jun oleh pengguna akaun Travel with Chris, pelancong berkenaan yang dikenali sebagai Chris merakam detik cemas itu sewaktu berjalan santai bersama tunangnya.
Pelancong Terpaksa Beri Laluan
Klip berdurasi satu minit itu memaparkan beberapa motosikal memecut melalui laluan pejalan kaki, dengan seorang penunggang sempat mengucapkan “terima kasih” ketika memintas mereka.
“Motor di KL ni bawa atas sidewalk masa rush hour. Tak pernah seumur hidup saya tengok macam ni,” luah Chris dalam videonya.
Dia turut berkongsi bahawa dia hampir dilanggar.
“Ada motor datang dari belakang, hampir kena saya. Memang bahaya. Kalau ada orang guna kerusi roda macam mana?” katanya, sambil mempersoalkan mengapa penunggang terbabit tidak menggunakan laluan jalan raya seperti sepatutnya.
Rakaman itu turut menunjukkan penunggang motosikal lain terus-menerus menggunakan laluan tersebut seolah-olah ia adalah perkara biasa.
Netizen Malaysia Berang
Situasi ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen Malaysia.
Majoriti rakyat Malaysia di ruangan komen tampil menjelaskan bahawa laluan tersebut sebenarnya direka khas untuk pejalan kaki dan penunggang basikal sahaja, bukannya untuk motosikal.
Malah, ada yang mengakui mereka sendiri cuba mengelak menggunakan laluan itu kerana sudah sinonim dengan motosikal yang “ambil kesempatan” pada waktu puncak.