Pusingan keenam Norway Chess 2025 dipenuhi dengan drama, apabila legenda catur dunia, Magnus Carlsen, ‘koyak’ selepas tewas mengejut kepada juara dunia muda dari India, D Gukesh.
Pertemuan antara dua jaguh catur dunia ini memang dinantikan ramai, apatah lagi selepas Carlsen menewaskan Gukesh pada pusingan pertama kejohanan tempoh hari.
Tapi siapa sangka, dalam perlawanan ulang siar ini, anak muda berusia 19 tahun itu berjaya membalas dendam.
Momen kekalahan itu jelas berat buat Carlsen.
Dalam satu video yang kini tular di media sosial, dapat dilihat Carlsen menghentak meja dengan kuat, menyebabkan beberapa buah catur terjatuh.
Namun, sebagai seorang profesional, beliau tetap berjabat tangan dan memberi tepukan mesra di bahu Gukesh yang masih kelihatan terkejut.
Jaguh Catur Tak Jangka Menang
Gukesh sendiri mengakui kemenangan itu bukan sesuatu yang dijangka.
Dalam temubual selepas perlawanan bersama Chess.com, beliau berkata, “Saya rasa, ini bukan cara yang saya mahukan untuk menang… tapi saya tetap terima.”
Malah beliau turut memahami tindakan emosi Carlsen, dengan selamba berkata, “Saya pun pernah hentak meja banyak kali juga dalam kerjaya saya.”
Ini bukan sahaja kemenangan klasik pertama Gukesh ke atas Carlsen, malah menjadikannya pemain India kedua selepas Rameshbabu Praggnanandhaa yang berjaya menewaskan Carlsen.
Lebih manis, kemenangan ini melonjakkan Gukesh ke tempat ketiga dalam carta kejohanan dengan 8.5 mata, hanya satu mata di belakang Carlsen dan Fabiano Caruana dari Amerika Syarikat.