Pemain keturunan Indonesia, Radja Nainggolan ditahan oleh pihak berkuasa Belgium sebagai sebahagian daripada siasatan kes pengedaran kokain melalui pelabuhan Antwerp.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat pendakwa raya Brussels, pihak polis telah menahan beberapa individu termasuk Nainggolan selepas serbuan dijalankan di seluruh negara.
Baca Juga:
- ‘Indonesia Hanya Menang Pada Jersi, Malaysia Jauh Lebih Baik’
- Ini Dua Rekaan Jersi Malaysia Yang Jauh Lebih Cantik
- Peminat Harimau Malaya Cemburu Dengan Jersi Baharu Indonesia
“Siasatan itu membabitkan dakwaan pengimportan kokain dari Amerika Selatan ke Eropah, melalui pelabuhan Antwerp, dan pengedaran semula kokain di Belgium.
“Penggeledahan rumah kebanyakannya dilakukan di wilayah Antwerp dan di Brussels.
“Kami boleh mengesahkan bahawa pemain bola sepak RN (Radja Nainggolan) telah ditahan dalam konteks kes itu. Memandangkan soal siasat sedang dijalankan jadi tiada kenyataan lanjut buat masa ini,” tambah pendakwa raya dalam satu kenyataan.
Baru Keluar Dari Persaraan
Nainggolan baru sahaja keluar dari persaraan minggu lalu dimana beliau beraksi bersama kelab Divisyen Dua Belgium iaitu Lokeren-Temse.
Dia menjaringkan gol pada penampilan sulungnya, memberikan pasukannya satu mata dalam keputusan seri 1-1 di tempat sendiri kepada K. Lierse.

Sebelum ini, Nainggolan beraksi di Liga 1 Indonesia bersama Bhayangkara Presisi selama satu musim dan kemudiannya memutuskan untuk bersara dari dunia bola sepak profesional selepas kelab itu tersingkir ke saingan divisyen dua musim ini.
Pemain berusia 36 tahun itu membuat 30 penampilan bersama skuad kebangsaan Belgium dari 2009 hingga 2018.
Rekod Disiplin Lampau
Nainggolan mempunyai beberapa masalah disiplin sepanjang kariernya. Apabila dia bermain untuk Roma pada 2018, dia didenda dan digugurkan daripada skuad untuk perlawanan selepas memuat naik video dirinya kelihatan mabuk dan merokok semasa pesta di Instagram pada Malam Tahun Baru.
Apabila dia bermain untuk Royal Antwerp pada 2022, dia digantung tugas selepas dia digambarkan menghisap rokok elektronik di bangku simpanan. Kelab itu juga menyebut bagaimana tingkah lakunya boleh memberi kesan negatif kepada skuad.