Seorang pemain skateboard profesional dari China cedera parah selepas dilanggar kereta di hadapan Dewan Bandaraya Ipoh di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini.
Memetik The Star, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, Song Zihao, 23, mengalami kecederaan di bahagian kepala, anggota badan kanan dan pinggul selepas dilanggar sebuah kereta kira-kira jam 12.15 tengah malam Khamis (22 Mei).
ACP Abang Zainal Abidin berkata siasatan awal mendapati Song telah melompat dari sebuah platform di hadapan dewan ke atas jalan raya dengan skateboard dan melanggar sebuah motosikal sebelum kejadian berlaku.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan sebelum dilanggar sebuah kereta,” katanya ketika dihubungi.
“Kereta tersebut tidak sempat berhenti kerana jarak yang terlalu dekat,” katanya, sambil menambah bahawa pemandu kereta dan penunggang motosikal tidak mengalami sebarang kecederaan.