Bekas pemain sepaktakraw Thailand, Rattadech Noijaroen tanpa berselindung membandingkan sistem sepak takraw di Malaysia lebih baik berbanding negaranya.
Thailand dikenali sebagai kuasa besar dalam sepak takraw sejak mula memperkenalkan servis kuda pada tahun 1995 dengan mendominasi pelbagai pertandingan disertai.
Baca Juga:
- STL 2025: Ini Perubahan Format Yang Buatkan Laluan Kejuaraan Lebih Mencabar
- 6 Lokasi, 1 Matlamat: STL 2025 Sasar Aksi Lebih Menarik
- Negeri Sembilan Antlers Hampakan KL Thunder Untuk Muncul Juara STL Champions Cup 2024
Namun, bagi Rattadech yang turut pernah membarisi skuad kebangsaan Thailand, beliau melihat masih terdapat kekurangan buat sukan tersebut di negara kelahirannya itu.

Sebaliknya beliau lebih tertarik untuk menjelaskan dengan lebih terperinci hujahnya dalam mengatakan Malaysia mempunyai sistem yang baik.
Tambahan pula beliau memang begitu mengenali sepak takraw di Malaysia kerana pernah menyarung jersi Johor Tigris dalam Sepaktakraw League (STL) dan Johor dalam menghadapi Piala Tun Ali.
Kelebihan Sistem Sepak Takraw Malaysia
“Malaysia tidak memenangi tiga kejuaraan utama berturut-turut secara kebetulan, (memenangi) Sepaktakraw Piala Dunia, Piala Raja Thai dan Piala Asia (baru-baru ini).”
“Mereka menang melalui perancangan yang konsisten, struktur, dan pertandingan sepanjang tahun,” ujar Rattadech menurut perkongsian di laman Facebooknya.
“Dan sejurus selepas Piala Asia, kalendar mereka diteruskan dengan pelancaran Liga Divisyen 1 STL, Liga Premier STL dan Kejohanan pra-musim istimewa dengan hadiah lebih 100,000 baht (RM13,066.45).”
“Mereka mempunyai sistem persaingan yang lengkap dan tidak terganggu yang memberikan pemain muda, pemain kebangsaan dan jurulatih data permainan sebenar yang berterusan.”

“Mengapa saya tahu sistem Malaysia dengan baik? Kerana saya pernah ke sana dan beraksi di sana juga.”
“Saya telah bertanding dalam liga profesional STL. Saya telah bercakap dengan kakitangan kejurulatihan dan pencari bakat mereka.”
“Saya telah melihat cara mereka menggunakan statistik perlawanan sebenar, prestasi secara langsung dan kedudukan ranking.”
“Mereka membahagikan peranan kejurulatihan dengan jelas: tekong, pengumpan dan perejam. Mereka melayan sukan ini secara profesional kerana memang begitu.”
“Ia berdasarkan apa yang saya alami secara langsung dan terlibat dalam sistem mereka.”
Apa Masalah Sepak Takraw Thailand Menurut Rattadech
“Sementara itu di Thailand, kami hanya ada dua acara domestik utama setahun iaitu Piala Puteri (regu) Piala MUA (regu berpasukan).”
“Kedua-duanya berlangsung pada bulan Ogos yang bermakna pemain Thailand hanya ada 2 peluang sebenar dalam setahun
untuk menonjolkan bakat dan menarik perhatian pencari bakat.”
“Bagaimana pula dengan pasukan kebangsaan? Tahun ini, Thailand mempunyai 4 kejohanan antarabangsa iaitu Sepaktakraw Piala Dunia (India), Piala Asia (Malaysia), Piala Raja (Thailand) dan Sukan SEA (Thailand).”
“Tetapi tanpa liga yang betul, ranking kebangsaan, atau kejohanan domestik biasa, bagaimana jurulatih boleh menilai? Bagaimanakah anda benar-benar mengenal pasti pemain ‘terbaik’.”

Saya benar-benar memahami situasi jurulatih Thailand. Jurulatih skuad kebangsaan sedang melakukan yang terbaik tetapi dengan data yang sangat terhad. Tiada sistem ranking, tiada perlawanan tetap dan hanya beberapa kejohanan dalam setahun.”
“Dan saya juga turut bersimpati dengan ramai jurulatih yang berkualiti di seluruh Thailand yang langsung tidak pernah mendapat peluang untuk mengetengahkan hasil kerja mereka.”
“Mereka membentuk atlet muda tahun demi tahun, selalunya tanpa sorotan atau sokongan. Jurulatih-jurulatih inilah sebenarnya tulang belakang pembangunan sukan negara.”
“Kalau mahu berkembang, pergi ke luar negara. Sama seperti pemain bola sepak yang ke J-League untuk tingkatkan diri,
atlet takraw Thailand juga perlu sertai liga di Malaysia untuk berkembang.”
“Ia bukan sekadar tentang pengalaman. Ia tentang mencari rezeki, membina keyakinan, dan bermain di bawah tekanan sebenar.”
“Begitulah cara kita membina pemain kebangsaan masa depan bukan hanya melalui bakat, tetapi melalui ujian sebenar,” tambah beliau lagi.