Polis (PDRM) melancarkan siasatan ke atas seorang pemandu e-hailing yang menghina agama Islam serta memburukkan imej negaranya sendiri – Malaysia – kepada pelancong asing.

Semalam, The Vocket melaporkan tentang kelakuan seorang pemandu e-hailing yang dengan selamba mengutuk negara sendiri dan melabel Malaysia seperti gua kerana orang Muslim di negara ini.

Dalam video yang tular itu, pemandu itu turut menggambarkan bahawa non muslim di negara ini ditekan untuk mengikut amalan muslim yang tidak berjudi dan minum arak.

Pemandu E-Hailing Ini Burukkan Negara Sendiri Dan Islam Kepada Pelancong

Oleh sebab itu dia berpendapat Thailand lebih baik yang banyak hiburan berbanding Malaysia yang membosankan.

Dia turut meremehkan umat Islam di Malaysia dengan berkata: “Saya pun tidak faham dengan pemikiran muslim di sini, apabila kamu lahir ke dunia ini, berhiburlah.”

Ramai netizen yang marah dengan tindakan lelaki tersebut. Dia menggambarkan bahawa Malaysia ini sebagai sebuah negara yang tidak mengamalkan toleransi beragama dan kebebasan untuk melakukan amalan harian.

Tindakan pemandu e-hailing tersebut memberikan imej sangat buruk tentang Malaysia dan Islam kepada orang luar.

Ramai mendesak agar pemandu e-hailing tersebut dikenakan tindakan kerana jelas telah menyentuh isu 3R.

Hari ini, KOSMO melaporkan bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa PDRM sudah menerima laporan daripada seorang peniaga berusia 49 tahun yang melihat video tersebut di aplikasi TikTok.

Laporan polis tersebut dibuat di Johor Bahru. Razaruddin berkata: “Hasil siasatan mendapati video terbabit dimuat naik kira-kira pukul 7 malam semalam dengan mengeluarkan kenyataan sensitif.

“Semakan akan dibuat dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mendapatkan butiran pemilik akaun dan mengenalpasti pemandu e-hailing.”

Razarudin menegaskan bahawa kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.