Wabak pandemik COVID-19 yang bermula di China dan kini telah menular ke seluruh dunia memberi impak yang besar terutama sekali ekonomi rakyat negara terlibat.
Di Malaysia, hampir semua sektor terkesan dengan penularan wabak COVID-19 terutama sekali sektor perindustrian, perniagaan dan perlancongan. Sektor perlancongan antara pertama yang terkesan kerana tiada kemasukan pelancong ke negara kita.
Malah, beberapa hotel di Malaysia turut terpaksa tutup operasi. Jika hotel pun terkesan, bagaimana pula dengan nasib pemandu pelancong tempatan yang hanya mendapat pendapatan hasil dengan membawa pelancong?
Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelbagai inisiatif dan pemandu pelancong juga tidak terkecuali mendapat bantuan one-off. Akan tetapi, rupa-rupanya ramai lagi pemandu pelancong yang berdaftar tidak menerima bantuan one-off kerana dikatakan tiada rekod.
Bagaimana perkara tersebut boleh berlaku sedangkan pemandu pelancong berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan seharusnya pihak kementerian sudah ada rekod pemandu pelancong. Untuk pengetahuan anda, bukanlah mudah untuk jadi seorang pemandu pelancong berdaftar kerana perlu hadiri kursus dan menduduki peperiksaan untuk lulus dapatkan lesen.
Oleh itu, kami di The Vocket telah menemu bual beberapa pemandu pelancong pemegang lesen ‘Blue Badge’, ‘Green Badge’ dan ‘Red Badge’. Bagi anda yang tidak tahu, ‘Blue Badge’ adalah untuk pemandu pelancong bandar, manakala ‘Green Badge’ adalah untuk pemandu pelancong alam semulajadi dan ‘Red Badge’ untuk hos komuniti setempat.
Hilang punca pendapatan
Menurut Khairil Yusree yang sudah menjadi pemandu pelancong alam semulajadi selama 20 tahun mengatakan pendapatannya terjejas sejak bulan Mac yang lalu sehingga sekarang. Jika dahulu, dirinya sentiasa sibuk membawa pelancong dalam atau luar negara untuk jelajahi dan melihat keindahan alam semulajadi di Malaysia.
Perkara yang sama turut diluahkan oleh Azmi Yunus yang juga merupakan pemandu pelancong alam semulajadi kerana tiada permintaan perkhidmatannya sepanjang penularan wabak COVID-19 ini.
Selain itu, Hamim Zuhaier yang merupakan pemandu pelancong bandar mengatakan bahawa pendapatannya terjejas dan jika sebelum ini hampir setiap minggu permintaan perkhidmatannya sentiasa ada, tetapi sudah berapa bulan tiada menyebabkan beliau tiada pendapatan.
Manakala Redzuan, hos komuniti Klang berasa terkesan apabila industri pelancongan terpaksa diberhentikan di Malaysia.
Berikutan tiada kedatangan pelancong, kebanyakan pemandu pelancong kehilangan punca pendapatan. Itulah yang diluahkan oleh beberapa pemandu pelancong yang kami temubual.
Rekod tiada untuk terima bantuan one-off kerajaan
Pastinya dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini membawa sinar dan kegembiraan di wajah mereka yang terkesan terutama sekali pemandu pelancong.
Ketika mereka dihubungi, bantuan one-off pemandu pelancong masih belum diterima. Menurut Khairil Yusree, beliau telah menghubungi pihak MOTAC dan pihak berkaitan mengatakan memerlukan masa dalam beberapa hari untuk untuk kemaskini data tetapi masih lagi tiada jawapan selepas itu.
Manakala Azmi Yunus mengatakan beliau telah menghubungi MOTAC sebanyak 3 kali tetapi tiada maklum balas dan tidak dapat dihubungi. Apabila disemak, namanya masih tidak ada dalam rekod.
Hamim Zuhaier pula mengatakan telah cuba menghubungi pihak MOTAC berhubung perkara tersebut tetapi tidak dapat dihubungi. Oleh itu, beliau berhubung dengan pihak KLTGA untuk mengetahui kenapa beliau masih tidak dapat bantuan tersebut.
Redzuan pula mengatakan telah berhubung dengan pihak MOTAC dan dikatakan bahawa pemegang lesen hos komuniti setempat tidak layak menerima bantuan one-off pemandu pelancong tanpa diberikan penjelasan lanjut.
Terpaksa buat kerja lain
Oleh yang demikian, mereka terpaksa melakukan pekerjaan lain bagi menampung perbelanjaan harian. Khairil Yusree telah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual makanan.
Azmi Yunus pula mengambil keadaan ini untuk bercucuk tanam di kawasan rumah. Manakala, Hamim Zuhaier dan Redzuan menjadi penghantar barang untuk syarikat kurier J&T dan juga secara persendirian.
Berikutan itu, kami telah cuba menghubungi pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk bertanyakan akan isu tersebut, akan tetapi masih tidak dapat dihubungi.
Diharap industri pelancongan negara dapat pulih selepas penularan wabak COVID-19 ini berjaya dikekang. Apakah pandangan anda mengenai isu ini dan bagaimana penularan wabak COVID-19 memberi kesan kepada kehidupan anda?
Sementara itu, peniaga luah perasaan kerana terkesan dengan penularan wabak COVID-19 ini. Baca artikel berkaitan perkara tersebut pada pautan di bawah ini.
Netizen ‘Luah Perasaan’ Tentang Perniagaan Mereka Yang Terkesan Kerana COVID-19
Selepas Jazz Hotel, G City Club Hotel Yang Beroperasi Selama 10 Tahun Pula Ditutup
Jazz Hotel Di Pulau Pinang Muncul Hotel Terawal Negara Ditutup Berikutan COVID-19