Salah satu cara nak melariskan bisnes kedai makan adalah dengan memanggil ‘food reviewer’ terkenal gang dipercayai warga tempatan.
Antara nama food reviewer yang sering menjadi kepercayaan ramai sudah semestinya TikToker Jason kerana telus dalam memberikan pendapat sama ada sedap atau pun sebaliknya terhadap sesuatu juadah.
Namun, ada wujud individu bergelar pemilik kedai makan yang sanggup menggunakan nama TikTok terbabit tanpa pengetahuannya untuk melariskan bisnes di media sosial.
Seorang pengguna X yang dikatakan merupakan pemilik kedai makan Tokbah Celup Tepung telah membuat ciapan berkaitan kedai terbabit dan mendakwa individu bernama Jason telah memuji makanan di situ serta memberikan rating tinggi.
“No wonder lah Jason boleh bagi 9/10. Memang terbukti sedap,” tulisnya sambil menerangkan senarai makanan yang dijual di kedai makan bertempat di Selangor.

Susulan dakwaan Jason sudah menyatakan kedainya memang sedap, ramai netizen yang meminta wanita itu untuk memberikan gambar sebagai bukti namun gagal disediakan olehnya.
Di sinilah terbongkar tipu helahnya yang menggunakan nama Jason dengan sengaja dalam melariskan kedai makan dan memberi alasan bahawa ramai orang mempunyai nama Jason di luar sana dan seolah-olah cuba mengelak dakwaan sengaja menggunakan nama yang sama seperti TikToker terkenal itu.
Kita sudah diajar untuk berlapang dada untuk menerima sebarang kritikan dalam sesuatu perkara namun pemilik kedai makan ini pilih memusuhi mereka yang memberikan komen negatif dari segi kualiti makanan yang dijual atau mempersoalkan sesuatu berkaitan kedainya.



Di dalam tangkap layar yang dikongsikan, dia meluahkan kata kesat dan biadap terhadap netizen yang memberikan komen jujur terhadap kedainya. Ini termasuklah menggelar seseorang sebagai si bodoh dek kerana individu tersebut suruh orang ramai melihat review terlebih dahulu sebelum berkunjung ke situ.

Dalam pada itu, Jason sendiri menafikan dakwaan sedemikian yang mana dia tidak pernah berkunjung kedai makan terbabit apatah lagi membuat review menerusinya.
Perkongsian kisah terbabit oleh seorang pengguna FB bernama Muhammad Nazrul Hisyam ternyata menjadi perhatian dan rata-rata netizen mengecam tindakan ‘pemilik’ kedai makan terbabit yang dilihat tidak berbudi bahasa dan lebih teruk lagi menipu dalam melariskan tempat jualannya.