Bila guna kereta yang dikuasakan dengan bateri, nescaya para pemilik boleh menjangkakan bil elektrik di rumah akan melambung dek kerana adanya pengecasan yang berkuasa tinggi.

Namun, ada segelintir individu yang licik sanggup mencuri elektrik kerana tidak mahu membayar caj bil bulanan yang mahal.

Baru-baru ini, tular sebuah video yang memperlihatkan pihak TNB menyerbu sebuah kediaman yang didakwa berlakunya kes kecurian elektrik.

Menerusi video tersebut, pihak TNB mendedahkan yang pemilik kereta Tesla tersebut telah mengubah suai cara pemasangan untuk pengecasan yang didakwa mampu mengelak dikesan penggunaan yang berlebihan daripada pihak TNB.

“Penyambungan masuk sebelum meter, dia kira macam meter tak rekod penggunaan (elektrik) u. Kalau u guna 100m sekaliun untuk Tesla ini jadi meter tak rekod, bil pun tak sampai dekat ni (TNB).

Pekerja berkenaan menerangkan lagi ekoran tindakan tersebut bakal mendatangkan kerugian kepada pihak TNB. Susulan itu, dia terpaksa potong dan akan membetulkan semula litar elektrik tersebut.

Tambahnya, perkara ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 yang mana sebarang pengubah suaian dengan memasang alat tertentu atau melaraskan apa-apa pepasangan pada meter TNB boleh didenda sehingga RM1 juta, penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dia turut berkata sebarang pemasangan secara haram sedemikian akan boleh diketahui oleh pihak TNB kerana mempunyai sistem pengesan tersendiri. Ini bermakna mereka bertindak atas notifikasi pengesan yang diterima dan bukannya daripada aduan orang awam.

Pemilik Tesla itu pun kelihatan ‘terkejut’ dan mendakwa juruteknik yang melakukan pemasangan sedemikian tanpa pengetahuannya. Lelaki terbabit kemudian kelihatan pasrah dan sedia memberi kerjasama dengan pihak TNB dalam membetulkan semula pemasangan litar pada meternya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji tindakan pekerja TNB yang profesional dalam urusan kerja dan memberi keterangan dengan jelas sebelum melakukan pemotongan.

Sumber Gambar: X
Sumber Gambar: X

Ramai juga berseloroh agar pihak TNB tidak termakan dengan alasan dan lakonan pemilik Tesla tersebut dan memberikan hukuman setimpal agar menjadi pengajaran buat orang lain.