Peminat bola sepak Indonesia mahu pengadil di negara itu menjadikan pengadil dari Malaysia, Nazmi Nasaruddin sebagai contoh dan panduan.
Nazmi baru-baru ini mendapat pujian ekoran prestasi baiknya dalam mengemudi perlawanan panas menemukan Persib dan Persija Jakarta semalam.
Baca Juga:
- Nazmi Nasaruddin Dipuji Kemudi Aksi Persib Lawan Persija Jakarta Dengan Baik
- Insiden Bola Terkena Tangan, Subkhiddin Anggap Nazmi Nasaruddin Buat Keputusan Tepat
- Nazmi Nasaruddin Antara Calon Pengadil Piala Dunia 2026
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung itu menyaksikan pasukan tuan rumah berjaya meraih kemenangan hasil jaringan Dimas Drajad (minit ke-38) dan Ryan Kurnia (minit ke-82).
Pada perlawanan tersebut, Nazmi telah melayangkan tujuh kad kuning dan dua kad merah dimana Firza Andika (Persija Jakarta) diperintahkan keluar padang pada minit ke-28 selepas menerima kad kuning kedua.
Manakala pemain tengah Persib Bandung, Marc Anthony Klok pula menerima nasib sama di minit ke-62 selepas menendang pemain lawan di bahagian paha.
Pengadil berusia 34 tahun yang memiliki lesen Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu jelas amat tegas dalam mengawal permainan serta mampu memberikan keputusan tepat.

Ketegasan dan ketenangan yang ditampilkan oleh Nazmi Nasaruddin menyebabkan ramai peminat negara seberang mahu kualiti pengadil mereka untuk setanding atau lebih baik daripada Nazmi.
Sama seperti Malaysia, Indonesia turut menghadapi isu pengadil yang tidak kompeten dan sering mendapat sorotan terutamanya selepas mengendalikan perlawanan berprofil tinggi.
Sebelum ini, Nazmi turut mendapat pujian pada aksi Liga 1 antara Maluku Utara United menentang Bali United pada 21 September lalu.
Pada perlawanan di Stadium Sultan Agung itu menyaksikan Nazmi Nasaruddin telah melayangkan lima kad kuning manakala satu kad merah kepada pemain Maluku Utara United, Tatsuro Nagamatsu.
Melihat kepada prestasi cemerlang yang ditampilkan, tidak mustahil Nazmi akan terus diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan banyak lagi perlawanan Liga 1 Indonesia.