Malaysia masih belum mampu menamatkan penantian selama 34 tahun untuk menumpaskan Thailand dalam acara berpasukan selepas tewas 0-2 pada aksi final Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Kekalahan itu bagaimanapun tetap memperlihatkan semangat juang tinggi barisan pemain negara yang dapat mencuri satu mata pada kedua-dua regu.

Baca Juga:

Lebih menarik untuk disaksikan dimana Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (perejam) dan pengumpan, Amirul Zazwan Amir berentap dengan Jakkrit Thinbangbon (tekong), Sutthikiart Panseankaew (perejam) serta Wuttinun Kamsanor (pengumpan) selama hampir dua jam.

Tewas 11-15 pada set pertama, trio utama negara itu bangkit dengan cukup mendebarkan pada set kedua dengan keputusan 15-12 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Skrip yang sama berlanjutan hingga ke set ketiga apabila Malaysia dua kali berada di mata akhir. Namun, kekentalan mental pemain Thailand membolehkan mereka memenangi perlawanan dengan jurang 17-15.

Walaupun tewas, semangat tinggi Azlan Alias yang beraksi dalam kesakitan jelas membuktikan beliau meletakkan kepentingan negara melebihi segalanya.

Ada sinar dijelmakan regu kedua yang dibarisi Haziq Hairul Nizam (tekong), Noraizat Nordin (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) selepas berjaya memenangi set pertama 15-13.

Tetapi trio Thailand yang diperkuatkan kehadiran Sittipong Khamchan (tekong), Thanaphon Sapyen (perejam) dan Sirisak Anuloon (pengumpan) bangkit dengan kemenangan 15-13.

Kemenangan set kedua itu jelas meningkatkan moral barisan pemain Thailand untuk tampil garang pada set ketiga.

Ia dibuktikan dengan kemenangan mudah 15-4 sekali gus menghadiahkan kejuaraan acara berpasukan edisi sulung ini menjadi milik Thailand.