Pihak penganjur konsert Kharisma Music International, menafikan tuduhan Aisha Retno yang menuduh mereka sebagai tidak memaklumkan kepada penyanyi tersebut isu berkaitan dengan pembatalan konsert.

Aisha Retno sebelum ini mengecam Kharisma Music sebagai tidak memberikannya sebarang perkembangan tentang perkara tersebut.

Konsert Aisha Retno terpaksa dibatalkan. Yuka Kharisma yang merupakan individu yang dikatakan bertanggungjawab dalam membuat keputusan membatalkan konsert Aisha Retno Malam Sutera tampil menjelaskan keadaan sebenar.

Yuka menganggap Aisha Retno telah memfitnah mereka secara terbuka.

Menurut Yuka, pihaknya sudah bertemu dengan Aisha Retno Entertainment (ARE) membincangkan tentang perkara tersebut, memandangkan jualan tiket konsert tidak mendapat sambutan.

Ketika itu ARE diberitahu bahawa konsert tersebut terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan untuk menggelakkan kerugian yang lebih besar.

Dipetik dari mStar, Yuka menjelaskan bahawa tiket konsert tersebut hanya terjual 98 keping sahaja. Sementara 100 keping tiket lagi diperuntukkan untuk pihak media daripada jumlah keseluruhan 2,414 tiket.

“Oleh sebab itu pihak ARE diberitahu bahawa konsert harus ditangguhkan atau dibatalkan untuk mengelakkan kerugian,” tegas Yuka.

Yuka turut menafikan pihaknya tidak membuat sebarang promosi untuk konsert tersebut. Yuka yakin pihaknya sudah melakukan tugasan mereka sebagai penganjur dengan sebaiknya.

Sebaliknya, Yuka mengkritik Aisha Retno yang dianggap acuh tak acuh dalam membantu mereka mempromosikan konsert dia sendiri.

“Sebagai penganjur, Kharisma Music sudah membuat promosi menerusi iklan, namun kita sangat terbatas. Kita pernah minta satu video daripada Aisha, namun ia memakan masa hampir 2 bulan. Artis juga harus memainkan peranan yang besar dalam sesebuah konsert,” tambah Yuka lagi.

Yuka turut mempersoalkan: “Adakah anda [Aisha Retno] sudah membuat promosi di media sosial anda?.”

Selain itu Yuka turut menuntut Aisha Retno membayar RM77,000 kepada mereka. Ini kerana sebelum ini Aisha Retno meminjam RM83,000 daripada mereka untuk menyertai Anugerah Juara Lagu ke-38. Konsert itu telah dijadikan cagaran untuk membayar hutang tersebut.

Setakat ini ARE hanya membayar RM6,000 kepada mereka.