Seorang pengasas firma IT menafikan salah laku selepas polis Bangladesh dilaporkan meminta untuk mengekstradisinya berhubung siasatan dikaitkan dengan pengambilan pekerja asing.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan, peguam Aminul N Sivananthan berkata artikel Bloomberg membayangkan bahawa anak guamnya atau Bestinet mungkin terlibat dalam amalan melanggar undang-undang adalah ‘tidak berasas sama sekali’.
Beliau menafikan dakwaan sama ada mengaitkan Aminul atau Bestinet dengan pemerdagangan manusia atau pengubahan wang haram.
Sivananthan berkata, Aminul mahupun Bestinet tidak pernah terlibat dalam proses pengambilan atau mempunyai interaksi langsung dengan agensi pengambilan atau bakal pekerja di Bangladesh atau di tempat lain.
Katanya, peranan Bestinet terhad kepada penyediaan pelaksanaan dan sokongan teknikal untuk FWCMS.
“Aminul tidak, pada bila-bila masa, terlibat dalam aktiviti di luar skop perkhidmatan teknologi Bestinet yang dibenarkan secara rasmi,” kata Sivananthan, sambil menambah Aminul hanya berkhidmat sebagai pemegang saham di Bestinet.
“Teknologi Bestinet dibangunkan khusus untuk memupuk amalan pengambilan yang telus dan sah, yang dipantau dan dikawal rapi oleh badan kerajaan Malaysia dan Bangladesh.
“Semua keputusan pengambilan kekal sepenuhnya bawah bidang kuasa pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan di Malaysia dan Bangladesh…dan setiap aspek platform FWCMS beroperasi dengan mematuhi sepenuhnya piawaian Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia serta garis panduan antarabangsa.”
Dalam artikel sebelum ini, Bloomberg melaporkan bahawa polis Bangladesh telah meminta Malaysia untuk menahan dan mengekstradisi dua individu berpengaruh dalam syarika berkenaan termasuk pengasas dan pemegang saham syarikat iaitu Aminul atas dakwaan memeras pekerja Bangladesh yang datang ke Malaysia serta penggubahan wang haram.
Memetik semakan salinan surat daripada Interpol cawangan Bangladesh kepada rakan sejawatannya di Malaysia, Bloomberg berkata polis di Bangladesh turut meminta Malaysia berhenti menggunakan perisian Bestinet, yang telah digunakan sejak 2018 oleh kerajaan dalam memproses pekerja asing yang memasuki negara itu.