Pengasas Ikan Celup Tepung terkenal di Terengganu, Md Non Nawang, 68, atau yang lebih dikenali sebagai Pok Nong Celup Tepung dilaporkan meninggal dunia ketika menghadiri majlis konvokesyen anaknya, lapor Harian Metro.

“Saya sempat berada di dalam dewan selama 10 minit untuk melihat adik menerima ijazah sebelum ahli keluarga menghubungi saya memaklumkan ayah pitam di luar dewan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kelmarin,” kata Nor Izzati Md Non, 25, anak ketujuh arwah.

Baca Juga:

Difahamkan ketika kejadian, dia bersama ibunya, Radziah Omar, 62, arwah ayahnya dan ahli keluarga lain menghadiri majlis konvokesyen adik bongsu, Nor Arissyah, 24.

“Arwah ayah mempunyai sejarah penyakit darah tinggi serta jantung dan doktor yang merawat memaklumkan ayah diserang penyakit jantung ketika di UniSZA,” katanya.

Nor Izzati berkata, keadaan ayahnya yang kurang sihat dan demam sejak Sabtu. Dia meminta kami untuk berehat di luar dewan buat sementara waktu.

“Ayah tidak larat masuk ke dalam dewan, tiba-tiba ayah rebah dan tidak sempat meraikan kegembiraan adik menerima ijazah dalam jurusan Sarjana Muda Teknologi Makanan,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hajar Gong Awang Lik, Mengabang Telipot di sini jam 11.30 pagi.

“Kami adik beradik akan meneruskan legasi ‘Pok Nong Celup Tepung’ memandang arwah meninggalkan kedai ICT yang diusahakan sejak 30 tahun lalu,” katanya.

Menerusi hantaran Instagram @warongpoknong_ict, warganet mengucapkan takziah buat ahli keluarga atas pemergian Pok Nong.

“Mohon semua sedekahkan Al-fatihah buat MD NON BIN NAWANG ( Pok Nong Celup Tepung )

“Semoga arwah berada dikalangan org-org beriman dan dikurniakan Syurga Firdaus buatnya. Amin,” petik hantaran Instagram tersebut.