Pengasas dan penerbit majalah popular Gila-Gila, Jaafar Taib, baru-baru ini meluahkan rasa kesal serta memohon maaf atas penggunaan karya seni yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI) untuk edisi terbaru majalah tersebut.
Menurut laporan Malay Mail, yang berusia 71 tahun itu mengakui kesilapannya di Facebook, menyatakan bahawa keputusan tersebut merupakan “kesilapan besar yang tidak sepatutnya berlaku.”
Dalam catatan di media sosial tersebut, beliau mengaku, sebagai pengasas yang sudah berpengalaman, beliau kurang pengetahuan tentang teknologi AI dan kesannya dalam dunia seni.
Jaafar juga sedar bahawa keputusan untuk menggunakan hasil karya yang dijana oleh AI adalah kesilapan besar yang tidak sepatutnya berlaku.
Ia telah mengecewakan perasaan ramai artis dan kartunis berbakat yang telah lama menjadi tunjang majalah Gila-Gila.
Jaafar turut menambah bahawa niat yang baik tidak selalu membawa kepada keputusan yang baik dan kesilapan ini telah membuka mata beliau tentang betapa pentingnya menghargai dan melindungi karya seni yang dihasilkan oleh tangan kreatif bangsa kita.
“Saya berjanji untuk melakukan segala yang termampu untuk membetulkan kesilapan ini.
Beliau juga berjanji bahawa majalah Gila-Gila akan kembali kepada prinsip asal, iaitu menjadi platform untuk mempamerkan karya seni asli yang dihasilkan oleh bakat tempatan.
Dalam satu hantaran lain, Jaafar menyatakan bahawa kehadiran seni AI bukan sekadar evolusi, tetapi revolusi yang mencabar segala yang beliau percaya tentang seni.
“Walaupun seni digital masih mengekalkan sentuhan dan kreativiti manusia, AI nampaknya mencabar takhta tersebut.
“Saya mengakui saya masih jahil tentang impak AI terhadap industri seni. Tetapi saya bimbang.”
Beliau memohon maaf kepada artis dan kartunis yang telah setia bersama Gila-Gila selama ini.
“Kepada semua artis dan kartunis yang setia bersama Gila-Gila selama ini, saya ingin memohon maaf atas kelalaian dan kesilapan saya.
“Saya berjanji akan terus berusaha menyokong dan menghargai bakat serta karya kreatif rakyat Malaysia. Marilah kita bersama-sama mengembalikan maruah dan kegemilangan majalah Gila-Gila yang kita cintai ini.”
Jaafar juga menyatakan rasa terima kasih yang mendalam kepada pembaca setia Gila-Gila atas sokongan dan kritikan membina mereka.
Bagi beliau tanpa sokongan peminat, Gila-Gila tidak akan mampu bertahan hingga hari ini.
Reaksi peminat majalah Gila-Gila terhadap penggunaan AI sangat pantas.
Seorang pengguna Facebook yang mengaku peminat majalah tersebut, mengecam penggunaan AI yang dianggapnya sebagai merendahkan martabat penerbitan itu.
“Majalah ‘Gila-Gila’ ini adalah komik popular lama di Malaysia. Namun, kini komik itu mula menerima gambar yang dijana oleh AI dengan menampilkan tekno AI/prompter dalamnya.
“Ya, agak sedih lihat komik kegemaran kita dah jatuh, bukan?”
Sentimen beliau disokong ramai di ruangan komen dan di pelbagai platform media sosial.
Gila-Gila pertama kali diterbitkan pada 1 April 1971 dan kekal popular sepanjang dekad