Ketua jurulatih Jeonbuk Hyundai Motors, Kim Do-heon tidak gemar dengan taktik yang digunakan oleh pemain Selangor ketika perlawanan AFC Champions League (ACL) 2 antara kedua-dua pasukan baru-baru ini.

Jeonbuk tewas dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) dengan keputusan 2-1 sekaligus mengalami kekalahan pertama dalam saingan musim ini.

Baca Juga:

Selepas perlawanan, Do-heon memberi sebab mengapa beliau tidak berpuas hati dengan taktik yang digunakan oleh pemain pasukan lawan.

“Saya tak rasa taktik pemain Selangor yang suka membuang masa ketika perlawanan tadi (semalam) adalah satu perkara yang wajar untuk dilakukan.

“Untuk bola sepak Malaysia bergerak ke hadapan, perangai seperti ini tidak sepatutnya diteruskan,” katanya.

Do-heon sendiri pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia dimana pada musim 2018 beliau menyarung jersi Negeri Sembilan dan beraksi dalam 15 perlawanan bersama pasukan itu.

Dua jaringan dari Harith Haiqal dan Ali Olwan pada separuh masa pertama sudah cukup untuk memberi tiga mata kepada Selangor sekaligus membolehkan kelab itu menghuni tangga teratas dalam kumpulan H.

Meskipun menurunkan barisan kedua, Jeonbuk berjaya menjaringkan satu gol menerusi Kwon Chang-Hoon menanduk masuk bola hasil hantaran lintang yang cukup baik diberikan Uh-jae bagi Jeonbuk merapatkan defisit jaringan.

Selangor juga menjadi satu-satunya kelab dari saingan Liga Super Malaysia yang masih belum tewas di peringkat Asia selepas mencatat dua kemenangan dan satu seri setakat ini.

Selepas ini, Selangor akan turun menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan liga dan mereka akan menerima kunjungan kelab Thailand, Muangthong United dalam saingan ACL 2.